Gambar Orang ramai sempena penubuhan Madrasah Islam di depan Balai Istana Seri Menanti bersama YM Tuanku Abd Rahman pada 1939 sumber http://maadah.blogdrive.com/archive/1.html |
Sejarah Istana Seri Menanti
Seri Menanti adalah sebuah kawasan yang
permai dengan tanah sawahnya menghijau dan bukit-bukit tersergam
memagari sekitarnya. Keindahan kawasan ini telah menjadikannya satu
kawasan petempatan dan pusat pemerintahan Raja-raja Negeri Sembilan pada
masa silam. Istana-istana indah dengan ukiran-ukiran yang menarik
didirikan di sini sebagai tempat bersemayam Yang di-Pertuan.
Salah satu daripada istana yang masih utuh sehingga ke hari ini ialah
Istana Lama Seri Menanti. Istana ini penuh dengan keunikan dan
keindahan yang juga digelar ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan. Istana
ini masih kukuh tersergam menyaksikan arus pembangunan dan memendam
segala rahsia silam. Walaupun pembangunan pusat berlaku, tetapi ianya
tetap dengan keaslian bentuknya sebagai sebuah istana yang menjadi
lambang kebudayaan Melayu yang indah dan mempesonakan.
Seri Menanti dikatakan mendapat nama daripada tiga batang padi yang
tumbuh di kawasan itu yang dinamakan Padi Menanti atau ‘semangat padi
yang menanti'. Dalam bahasa Jawa, padi bererti `Seri', lalu ia diubah
nama kepada Seri Menanti. Di kawasan tiga batang padi ini juga
dikatakan Istana Seri Menanti didirikan.
Istana setinggi empat tingkat ini pelan asalnya telah direka oleh dua
orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah
dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sultan oleh Tuanku Muhammad kerana
khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua
Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Public Works Department Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.
Istana Seri Menanti ini dibina bagi menggantikan Istana Pulih yang
telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah
ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Pembinaan istana ini bermula
pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1908. Belanja bagi pembinaan istana
ini ialah sebanyak $45,000. Istiadat perasmian istana ini telah
disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad ibni Almarhum Yamtuan
Antah.
Yang di-Pertuan Besar
menginginkan reka bentuk istana yang menunjukkan dan mempunyai pertalian
dengan alam Minangkabau, maka istana ini bukan sahaja sekadar
menyerupai reka bentuk bangunannya tetapi juga dilengkapi dengan
bahagian-bahagian yang melambangkan kekeluargaan, pendidikan, kesenian
asli dan lain-lain yang mempunyai perkaitan yang erat dengan
Minangkabau.
Reka bentuk Istana ini
amat menarik sekali. Ianya mempunyai empat tingkat dengan setiap
tingkat mempunyai bilik-bilik tertentu. Misalnya pada tingkat pertama
istana ini terdapat empat bilik dan beranda sepanjang 160 kaki.
Manakala tingkat keduanya pula mempunyai tiga bilik dan bilik-bilik itu
didiami oleh kerabat-kerabat diraja. Pada tingkat ketiga dan keempat
pula masing-masing mempunyai satu bilik. Tingkat ketiga adalah tempat
kediaman Yamtuan Muhamad manakala tingkat keempat pula adalah tempat
simpanan khazanah raja.
Mengikut
Datuk Besar Meon, tidak ada sepucuk paku besi pun digunakan dalam
pembinaan istana ini. Semuanya diperbuat daripada kayu dari tiang
hinggalah ke atapnya dan binaannya ‘dipaku' dengan kayu yang dipanggil
pasak.
Istana ini juga mempunyai
tiang setinggi 19.9 meter (65 kaki) dengan empat batang tiang tengahnya
setinggi 170 kaki tiada bersambung. Pada tiang-tiang ini juga diukir
dengan ukiran-ukiran yang menarik dengan berbagai-bagai motif.
Empat batang tiang tengah istana ini yang sepanjang 170 kaki tiada
bersambung itu diperbuat daripada kayu `Penak'. Kayu tersebut diambil
daripada Bukit pergai di Jelebu; Kayu-kayu ini dibawa dengan kereta
lembu ke Seri Menanti. Dikatakan juga bahawa setiap batang tiang 170
kaki itu ditarik oleh tiga buah kereta lembu.
Jumlah semua tiang yang menjadi penegak pada istana ini ialah sebanyak
99 batang yang melambangkan juak-juak hulubalang Negeri Sembilan yang
seramai 99 orang. Mengikut sejarah pembinaan istana ini setiap orang
juak dan hulu balang itu memegang satu tiang semasa hendak menegakkan
istana tersebut. Sementara empat batang tiang tengahnya pula
melambangkan empat orang besar istana (Orang Empat Istana).
Istana ini juga ditinggikan di bahagian hujung dan pangkal, manakala di
bahagian tengahnya bermahligai tiga persada. Pada bahagian-bahagian
istana ini juga diukir dengan ukiran-ukiran yang menarik dan bernilai
tinggi. Ukiran-ukiran itu terdiri daripada berbagai motif yang
menggambarkan kemahiran seni ukir orang-orang Melayu yang berdasarkan
kepada alam sekitar sebagai bahan adunan dalam hasil ukirannya. Hasil
ini juga melambangkan ketinggian budaya orang-orang Melayu.
Di antara bentuk-bentuk ukiran yang terdapat di istana ini adalah
seperti bentuk lambai-lambai, awam berarak, bunga tampuk manggis, bunga
semantung, gunung-gunung dan lain-lain. Ini menunjukkan bahawa hal-hal
alamiah tanah mengilhami seni ukir orang-orang Melayu. Ini membuktikan
kepekaan orang Melayu pada alam sekelilingnya. Oleh sebab itulah pada
setiap ukiran di ruang dan anjung istana ini melambangkan kekayaan
tatasusila dan kehalusan budi bahasa Melayu zaman lampau.
Selain tempat bersemayam baginda Yang
di-Pertuan Besar, istana ini juga berfungsi sebagai tempat perjumpaan
dan pengaduan daripada para pembesar dan rakyat jelata terutama pada
hari-hari perjumpaan yang diadakan di balairung seri. Istana ini juga
digunakan untuk upacara menghadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada
tahun 1926. Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard turut hadir dalam
upacara itu. Walau bagaimanapun mulai tahun 1931, istana ini tidak lagi
menjadi tempat bersemayam Yang di-Pertuan; sebaliknya sebuah istana yang
lebih baru dan moden dibina berhampiran dengannya.
Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri
Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959
sehingga tahun 1964. Istana ini kemudiannya dibiarkan kosong tanpa
penghuni sehingga tahun 1992. Namun begitu, atas kesedaran DYMM Tuanku
Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, istana ini dengan rasminya
diwartakan sebagai ‘Muzium DiRaja'. Perasmiannya telah dilakukan pada 14
Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah. Pengurusan Muzium DiRaja
adalah di bawah pentadbiran Muzium Negeri, Negeri Sembilan.
Mulai saat inilah Muzium DiRaja Istana Lama Seri Menanti telah bertukar
wajah dengan mempamerkan koleksi-koleksi keluarga DiRaja. Setiap ruang
diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi
ruang-ruang tersebut. Penambahan bahan koleksi Muzium juga dilakukan
dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana. Muzium ini
dipelihara dengan baik sebagai warisan sejarah kebudayaan untuk tatapan
generasi kini dan akan datang. Ianya akan terus berdiri tegak di bumi
Seri Menanti yang menjadi saksi sejarah silam dan masa hadapan.
0 Komen