TAMPIN – Pasukan Bola Tampar Daerah Tampin mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya menyandang juara keseluruhan bagi Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Negeri Sembilan.
Pengerusi Teknik Bola Tampar Daerah Tampin, Mohd Hazrin Hashim berkata, kejayaan tersebut hasil usaha gigih guru bola tampar untuk memastikan Daerah Tampin mengulangi kejayaan sebagai johan keseluruhan.
Menurutnya, gelaran berkenaan sebenarnya pernah disandang Daerah Tampin dan pasukan itu berjaya merampas kembali gelaran tersebut dari daerah lain sejak lima tahun lepas.
“Kita melihat kejayaan kita dalam sukan bola tampar ini bakal menjadi platform terbaik melayakkan diri dalam medan pemilihan pemain bola tampar yang bakal mewakili Negeri Sembilan ke peringkat MSSM yang akan diadakan di Kedah Jun ini.
“Oleh itu, kita amat berharap kejayaan pada tahun ini akan dapat dikekalkan pada tahun mendatang bagi memastikan akan ada wakil d:ari daerah kita yang akan mengharumkan nama Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hazrin berkata, pasukan Bola Tampar Daerah Tampin terdiri gabungan beberapa sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar, SMK Gemas, SMK Bukit Rokan, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Gemas dan SK Londah.
Menurutnya, pasukan Bola Tampar Daerah Tampin berjaya mengungguli kategori lelaki bawah 12 dan 18 tahun serta kategori perempuan bawah 12 tahun sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
“Oleh itu, saya sangat berharap sokongan daripada semua pihak khususnya Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tampin dan sekolah yang terlibat untuk sama-sama membantu mengekalkan kejuaraan ini pada tahun akan datang.


0 Komen