SEREMBAN 1 Jun - Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) akan membuat pendekatan drastik dalam memulihkan bekalan air di kawasan gangguan khususnya bagi penduduk di daerah Kuala Pilah.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, gangguan bekalan air di kawasan Kampung Gunung Pasir, Senaling dan Kepis dekat kawasan Kuala Pilah itu disebabkan lebihan penggunaan berikutan pertumbuhan penduduk di situ.
''Sebelum ini, penggunaan air di sebuah pusat matrikulasi di Kuala Pilah, cuma menampung tidak sampai 1,000 pelajar.
''Tetapi jumlah itu semakin bertambah dengan angka 4,000 orang, di mana telah berlaku penggunaan air yang banyak, sehingga menyebabkan kawasan penduduk berhampiran mengalami gangguan bekalan air," katanya di sini hari ini.
Mohamad ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan mengenai prestasi setengah tahun penjawat awam pada Perhimpunan Bulanan di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Katanya, bagi tindakan segera mengatasi masalah penduduk di kawasan terbabit, bekalan air bagi kegunaan pelajar matrikulasi itu dibuat melalui konsep sistem tangki persendirian.


0 Komen