SEREMBAN 1 Jun - Lonjakan prestasi penjawat awam di negeri ini bagi tempoh setengah tahun pertama amat baik terutama sekali bagi jabatan yang diberikan tugas-tugas khusus.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pencapaian itu diperoleh melalui kesepakatan dalam menjalankan tugas di kesemua jabatan kerajaan, selain peningkatan prestasi kerja penjawat awam itu sendiri.
''Semua jabatan peringkat negeri dan persekutuan di Negeri Sembilan menunjukkan prestasi yang amat baik dan ini dibuktikan melalui maklum balas rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan.
''Jabatan yang diberikan tugas khusus pula telah melaksanakan misi mereka dengan jayanya, sebagaimana yang kerajaan negeri tuntut bagi memastikan rakyat terus mendapat pembelaan,' katanya.
Mohamad ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan mengenai prestasi setengah tahun penjawat awam pada Perhimpunan Bulanan di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Katanya, jabatan yang diberikan tugas khusus seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjaya menguruskan bantuan bulanan kepada 18,599 penerima sehingga hari ini melalui Dasar Jaringan Keselamatan Sosial yang dilaksanakan kerajaan negeri.
''Jabatan Pertanian, Perikanan dan Veterinar juga telah menunjukkan keupayaan dalam menambah keperluan makanan dan pendapatan penduduk di negeri ini.
''Jabatan Perikanan pula melepaskan anak udang dan ikan di kolam dan sungai yang kosnya RM1 juta bagi menambah pendapatan pengusaha dan nelayan sambilan," ujarnya.
Mengenai penurunan kadar jenayah pula, Mohamad gembira dengan prestasi pasukan Polis Diraja Malaysia dan anggota penguat kuasa lainnya, terutama dalam aspek memerangi perjudian siber kafe dan jenayah jalanan.
''Bagi Jabatan Pembangunan (ICU) negeri, mereka juga berjaya menyelesaikan sehingga 80 peratus projek bagi tempoh setengah tahun pertama dan ia lebih baik berbanding peringkat Persekutuan," jelasnya.
Mohamad juga memberitahu, prestasi pelaburan di negeri ini kini di landasan betul apabila menunjukkan 50 peratus pencapaian untuk tempoh empat bulan pertama dan sedang menuju ke arah sasaran melebihi RM1 bilion.
Dalam aspek kutipan cukai tanah pula, Mohamad gembira selepas angka tidak rasmi yang berakhir 31 Mei lalu menunjukkan kesemua daerah kecuali Seremban dan Port Dickson, telah melebihi sasaran kutipan sebanyak 90 peratus.
''Sebelum ini, dalam tempoh yang sama, prestasi yang diperoleh cuma sekitar 70 peratus. Apa yang berlaku itu menunjukkan keberkesanan dalam sistem kutipan cukai tanah," ujarnya.
Apa pun, katanya, yang lebih utama adalah meningkatkan lagi sistem penyampaian supaya rakyat tidak ada ruang untuk membuat rungutan, sekali gus melonjakkan pencapaian perkhidmatan awam yang terbaik di negara ini.
''Dalam Sistem Pengaduan Awam Negeri (SPAN), dahulu kita dapati banyak aduan, di mana 14 peratus menjurus kepada aspek penyampaian. Ada yang kata lewat bertindak, soal longkang dan sampah.
''Tetapi hari ini, jumlah itu semakin berkurangan, malahan dalam SPAN, orang ramai kini menulis untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas tindakan yang telah dilakukan oleh jabatan berkenaan," katanya.
Katanya, jabatan lain juga telah menunjukkan prestasi yang baik dan di mana ada kelemahan ia perlu dibaiki supaya 50 peratus lagi atau dalam tempoh enam bulan akan datang ia dapat memberikan impak dalam tugas yang diamanahkan.


0 Komen