SEREMBAN: Kerajaan negeri mengecualikan bayaran cukai tanah kepada sekolah bantuan modal, sebaliknya hanya mengenakan cukai tahunan RM1 bagi setiap sekolah itu mulai tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata berikutan penyeragaman itu, semua sekolah bantuan modal iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) atau persendirian yang dibina di tanah kerajaan dikecualikan daripada bayaran cukai tanah seperti dikenakan sebelum ini.
“Penyeragaman ini serta cukai yang rendah dapat meringankan beban pengurusan sekolah berkenaan. Saya berharap lembaga pengelola pengurusan sekolah berkenaan menjadikan pemberian kerajaan negeri ini sebagai suatu suntikan semangat untuk mereka meneruskan usaha melahirkan pelajar cemerlang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di sini.
Mohamad berkata, kerajaan negeri ingin melihat pencapaian sekolah dan pelajar di negeri ini terus melonjak bagi mengharumkan nama negeri ini sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Setakat ini kita boleh berbangga apabila beberapa sekolah dari negeri ini yang mencatatkan pencapaian luar biasa bukan saja dalam bidang akademik, malah dalam aktiviti kokurikulum sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Saya berharap lebih banyak kejayaan dapat dicipta oleh pelajar dari negeri ini bagi meletakkan Negeri Sembilan di tahap yang membanggakan dalam semua bidang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, sasaran kerajaan negeri untuk mengutip kira-kira 90 peratus cukai tanah dijangka tercapai tahun ini apabila sistem perkomputeran di PTG sudah dikemas kini dan berjalan lancar selain kemudahan untuk orang ramai membayar cukai yang disediakan


0 Komen