|
|
SEREMBAN 20 Dis. - Kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Penerangan perlu menyatakan yang benar dalam laporan mereka walaupun ini bermakna terpaksa memberi maklumat balas yang negatif kepada pemimpin negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Beliau berkata, mereka ini digalak untuk tidak berselindung dengan hal yang baik-baik sahaja.
"Saya sudah beritahu kepada Perdana Menteri mengenai hal ini. Tidak akan ada tindakan ke atas para pegawai ini (jika maklumat balas yang mereka beri adalah negatif).
Kita perlukan laporan yang benar supaya kerajaan sentiasa dapat membaiki dirinya," katanya semasa berucap pada majlis sepetang bersama jabatan-jabatan itu yang dihadiri oleh lebih kurang 125 pegawai dan kakitangan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurut Rais, laporan itu hendaklah seimbang dan mempunyai pengesahan daripada bentuk kebenaran maklumatnya.
"Dalam laporan perlu diperjelaskan hal-hal yang boleh mengukuh atau melemahkan kerajaan," katanya.
Beliau juga mahu pegawai JASA dan Jabatan Penerangan supaya tidak kelu lidah apabila berhadapan dengan rakyat.
"Kita memang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian tetapi bukan semua yang rakyat minta, dijamin dapat, kerana kejayaan bergantung kepada rezeki dan usaha rakyat itu sendiri," katanya.
Rais juga berkata, pegawai JASA dan Jabatan Penerangan bukan sekadar turun padang untuk memberi ceramah tetapi tugas mereka adalah untuk memenangi minda dan hati rakyat. - BERNAMA
0 Komen