PORT DICKSON – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson mengambil inisiatif mengadakan Seminar Pemakanan Sihat kepada anggotanya.
Langkah itu bertujuan memastikan anggota polis sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat yang turut mempengaruhi kerjayanya.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Baljeet Singh berkata, ia merupakan satu permulaan dalam memastikan semua anggota polis di daerah ini mengikuti garis panduan cara pemakanan seimbang, sejajar dengan tugasan mereka yang memerlukan sentiasa berada di dalam keadaan sihat dan cergas.
Menurutnya, melalui seminar diberikan pegawai kesihatan, sedikit sebanyak dapat membantu anggota polis mengenal pasti pemakanan mereka sama ada menyumbang kepada keseimbangan ataupun lebih memudaratkan.
“Apabila anggota mengamalkan pemakanan sihat dan seterusnya gaya hidup sihat, secara tidak langsung akan menjadi tunjang kepada kewibawaan mereka dalam melaksanakan tugas.
“Kesibukan bekerja tidak boleh dijadikan alasan oleh anggota untuk mengabaikan amalan pemakanan sihat. Disiplin mereka dalam melaksanakan pemakanan sihat juga perlu seimbang dengan disiplin mereka sebagai anggota polis,” katanya kepada Sinar Harian pada seminar berkenaan.
Baljeet berkata, seminar untuk fasa pertama ini melibatkan seramai 30 anggota polis pelbagai pangkat dan dari masa ke semasa program berkenaan akan dikembangkan secara berperingkat.
“Selain itu, penganjuran seminar lebih fokus kepada sesuatu jenis masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis juga akan dilaksanakan.
“Kategori penyakit tidak berjangkit seperti ini hanya boleh dielakkan dengan disiplin diri sendiri dalam memastikan langkah pencegahan dilaksanakan melalui amalan gaya hidup sihat,” katanya.
0 Komen