SEREMBAN - Tujuh muka baru bakal menguatkan cabaran Negeri Sembilan pada musim 2011, dengan misi utama memburu sekurang-kurangnya tiga kejuaraan - Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran besar itu bukan sesuatu yang mustahil, apatah lagi kehadiran beberapa muka baru bakal menguatkan semua posisi dalam pasukan.
Katanya, kemasukan tujuh pemain baru ini akan menampung masalah kekurangan pemain berkemampuan, terutama apabila berlaku masalah kecederaan dalam kesebelasan utama.
Tujuh muka baru yang bakal menyarung jersi Negeri Sembilan musim depan adalah bekas penyerang Kelantan, Hairuddin Omar, selain tiga bekas pemain Perlis - penyerang, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Aminuddin Shaharuddin serta penjaga gol, Farizal Marlias.
Turut memperkuatkan cabaran skuad Rusa adalah dua bekas tonggak pertahanan KL Plus, Irwan Fadzli dan Norhafiz Zamani Misbah serta pemain tengah PKNS Selangor, G. Mahathevan.
Mohamad berkata, antara pemain berpengalaman yang dikekalkan termasuk Shukor Adan, Idris Karim dan pemain kebangsaan S. Kunalan serta gandingan kembar yang juga pemain kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Zaquan Adha.
Katanya, Shukor dan Hairuddin, masing-masing dilantik sebagai ketua dan penolong ketua pasukan, manakala Datuk Abdul Halim Abdul Latif dan Wan Jamak Wan Hassan dikekalkan sebagai pengurus pasukan dan ketua jurulatih.
Pada majlis itu, syarikat pengeluar pakaian sukan Lotto diumumkan sebagai penaja kelengkapan pakaian sukan untuk Negeri Sembilan musim depan dengan kos penajaan berjumlah RM250,000.
''Ia (kemasukan tujuh pemain baru) adalah selari dengan hasrat PBNS untuk mengatasi masalah kekurangan pemain berkualiti yang boleh diketengahkan dalam kesebelasan utama apabila terdapat tonggak utama mengalami kecederaan.
"Tahun lalu, kita cuma ada 11 pemain yang benar-benar mampu menggalas tanggungjawab beraksi dalam kesebelasan utama. Pada ketika itu, pasukan berhadapan dengan masalah untuk menggantikan pemain lebih-lebih lagi jika berlaku kecederaan kepada salah seorang pemain utama," katanya.
Sementara itu, Norhafiz ketika ditemui berkata, dia amat gembira kembali ke pangkuan Negeri Sembilan, sambil melihat pasukan itu berpotensi memburu lebih banyak kejuaraan musim depan.
"Saya gembira dapat menyertai semula pasukan ini kerana saya telah dilatih sejak kecil di negeri ini, karier saya pun bermula dari akademi bola sepak negeri ini. Pada saya Negeri Sembilan mempunyai ramai pemain muda yang berpotensi," ujarnya.
Dalam pada itu, Hairuddin berkata, dia amat berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk meneruskan kariernya di Negeri Sembilan. "Saya berjanji kepada Menteri Besar musim lalu yang saya akan bermain semula untuk Negeri Sembilan dan saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan ini," katanya.
0 Komen