SEREMBAN - Skuad Hoben Jang Hoben sekali lagi menerima tambahan habuan RM300,000 daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berikutan kejayaan menjulang Piala Malaysia baru-baru ini.
Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ganjaran tersebut adalah bagi menghargai jasa seluruh pasukan daripada peringkat pengurusan, pegawai khususnya pemain yang telah berhempas pulas membawa semula pulang piala keramat itu ke negeri beradat ini.
''Pada peringkat separuh akhir, pihak PBNS telah mengeluarkan insentif RM200,000 dan hari ini (semalam) kita memberikan lagi RM300,000 atas kejayaan yang amat bermakna buat negeri ini," katanya pada majlis makan tengah hari bersama pemain skuad Negeri Sembilan di Klana Resort di sini, semalam.
Mohamad dalam ucapan ringkasnya turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh skuad di atas komitmen tinggi yang diberikan mereka sepanjang kempen Piala Malaysia 2011.
''Kejayaan ini merupakan hasil usaha kerjasama serta dedikasi yang tinggi antara pemain dan pengurusan dan terima kasih juga saya ucapkan kepada ketua jurulatih Mohd. Azraai Khor kerana berjaya membentuk satu pasukan yang mantap," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Besar menjelaskan, sebagai persediaan musim depan, PBNS turut akan menghantar seluruh pasukan untuk menjalani latihan di Australia Barat.
''Usaha ini sebagai langkah untuk memantapkan pasukan bagi mengharungi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim hadapan.
''Sebelum berangkat ke Perth, Australia untuk mengadakan perlawanan persahabatan antara beberapa kelab di sana, kita juga akan turun menjalani perlawanan persahabatan di sini, "katanya.
Jelasnya, perlawanan persahabatan pertama dijadualkan menentang pasukan nasional Bangladesh pada 20 November ini, disusuli dengan PKNS pada 23 November dan pasukan Red Wariors pada 29 November ini bertempat di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.


0 Komen