RASAH 10 Dis. – Polis merampas 19 unit komputer yang diubah suai menjadi mesin judi dalam serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Oakland, dekat sini semalam.
Serbuan pukul 4 petang itu dilakukan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Negeri, hasil maklumat dan risikan sejak beberapa hari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, turut ditahan 13 pengunjung dan pengurus premis yang terdiri daripada sembilan warga tempatan manakala bakinya warga Indonesia dan Myanmar.
Katanya, selain komputer, pihaknya juga merampas wang tunai sebanyak RM668 yang dipercayai hasil kegiatan itu.
“Ketika diserbu, kebanyakan pengunjung berusia 20 hingga 40 tahun itu cuba melarikan diri namun gagal setelah dikepung,” katanya di sini hari ini.
Jelas Hamdan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) dan Seksyen 6 Enakmen Pusat Hiburan kerana berniaga tanpa lesen.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM10,000 bagi setiap mesin dirampas atau penjara lima tahun di bawah Seksyen 4B (a).
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” tegasnya.


0 Komen