SEREMBAN 12 Dis. - Seramai 50 kanak-kanak dari sekitar daerah ini menyertai program berkhatan beramai-ramai anjuran KPJ Seremban Specialist Hospital di sini baru-baru ini.
Mereka merupakan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Seremban, Abdul Aziz Abdul Rahman, program tahunan itu mendapat sambutan menggalakkan sejak ia diadakan lima tahun lalu.
"Program ini memberi peluang kepada orang awam terutama keluarga yang ingin mengkhatankan anak-anak mereka sempena musim cuti sekolah. Sejak permohonan dibuka pada pertengahan bulan lepas, sambutan adalah menggalakkan," katanya.
Beliau berkata, sesi berkhatan itu diadakan mulai pukul 8.30 pagi hingga 1 petang membabitkan kira-kira 30 kakitangan yang terdiri daripada Penolong Pegawai Perubatan dan Pembantu Perawatan Kesihatan hospital berkenaan.
Dalam pada itu seorang peserta, Muhammad Humair Hishamudin, 10, gembira kerana diraikan beramai-ramai bersama rakan yang lain dalam program tersebut.
"Kalau ramai-ramai kurang sedikit rasa takut," katanya.


0 Komen