Pengerusinya, Mejar Dr. Yee Mee Faa berkata, yayasan yang berpaksikan kebajikan itu bukan sahaja memberi fokus bantuan kepada masyarakat Cina, tetapi juga membantu sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik.
''Dalam kita bermasyarakat, agama dan politik itu tidak penting. Apa yang kami lakukan adalah untuk meringankan beban mereka yang susah.
''Wang yang dikumpulkan ini datangnya daripada ahli dan kita mengagihkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, dalam program yang dijalankan hari ini, pihaknya telah menyampaikan bantuan kepada tiga keluarga, di mana dua daripadanya adalah kaum Cina dan satu lagi sumbangan kepada keluarga Melayu.
''Kepada keluarga Melayu itu, kami menyampaikan bantuan keperluan makanan untuk persiapan Aidilfitri, selain memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada mereka," katanya di Rumah Rakyat Jambu Lapan, dekat sini.
Sementara itu, penerima bantuan, Mohd. Zin Ibrahim, 47 berkata, dia terharu dengan sumbangan yang diberikan yayasan itu dan nyata mereka telah melaksanakan tanggungjawab murni membantu rakyat tanpa mengira fahaman agama dan bangsa.
''Saya akan gunakan sebahagian duit ini untuk persiapan Aidilfitri bersama isteri, Khatifah Ibrahim, 46 dan enam orang anak," katanya yang masih terkejut dengan bantuan yang diberikan oleh pihak yayasan itu.
0 Komen