Bayi 4 bulan hidap jantung berlubang
Zalina bersama Hafizi yang masih mampu tersenyum walaupun menderita sakit jantung berlubang.
SEREMBAN – “Sebak hati saya melihat anak yang berusia empat bulan hanya seberat 3.3 kilogram, sedangkan bayi seusianya sudah membesar dengan sihat,” demikian luahan Zalina Mohd Salleh, 44, tentang penderitaan cahaya matanya, Muhammad Hafizi Azman yang menderita sakit jantung berlubang.

Zalina berkata, hanya Allah yang mengerti betapa hancur hatinya ketika dimaklumkan hospital anaknya menghidap jantung berlubang selain turut mempunyai masalah paru-paru dan hati ketika berusia sebulan.

“Sewaktu dilahirkan, berat Hafizi hanya 2.15 kg dan selepas dua minggu pulang ke rumah, saya ke hospital semula kerana Hafizi mengalami demam kuning yang teruk.

“Pihak Hospital Tuanku Jaafar Seremban terpaksa memindahkan Hafizi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana masalah kesihatannya dan dari situ saya diberitahu anak saya menghidap jantung berlubang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Taman Rasa Sayang (TRS) di sini.

Menurutnya, Hafizi telah menjalani pembedahan mengambil sampel hati memandangkan demam kuningnya yang lambat sembuh dan terpaksa ditahan di hospital selama dua bulan.

Zalina berkata, dia sedih ditimpa ujian sebegitu, namun demikian mendapat kekuatan selepas melihat penderitaan bayi lain yang lebih teruk di HKL.

“Pada awalnya saya sendiri tidak sanggup melihat keadaannya yang masih kecil terpaksa menanggung derita sebegitu.

“Tapi lama kelamaan, saya akur ini ujian buat kami sekeluarga. Ia menjadikan diri saya lebih kuat untuk memastikan Hafizi dapat membesar dengan sempurna,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, pada 4 Mac ini Hafizi perlu dibawa ke HKL untuk menerima rawatan susulan kali pertama sejak dia dikeluarkan dari hospital Disember lalu.

Menurut Zalina, dia yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sejak setahun lalu bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada anak bongsunya itu.

“Sudah setahun saya tidak bekerja dan hanya mengharapkan suami yang bekerja sendiri untuk menanggung saya dan tiga lagi anak yang masih bersekolah.

“Terus terang kehidupan kami sedikit sukar sekarang kerana kos penjagaan untuk Hafizi sahaja hampir RM400 setiap bulan melibatkan pembelian susu khas berharga RM70 setin yang hanya boleh bertahan seminggu, selain perlu diberi ubat menambah berat,” katanya.

Selain itu katanya, dia bersyukur kerana penderitaan anaknya itu turut mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang datang menghulurkan sumbangan Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Cawangan Umno TRS, Zulkifli Muhamad berkata, pihaknya  sudah sedia maklum penderitaan dihadapi keluarga Zalina dan kini sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada saluran bersesuaian.