SEREMBAN –  Seorang bayi berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan otak selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Kampung Nyatuh Rantau, di sini.

Hafina Nazrin Nazli meninggal dunia kira-kira jam 10.30 malam kelmarin selepas menerima dua hari rawatan di wad kanak-kanak Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ).

Bapa mangsa Nazli Abu Nawar, 40, ketika dihubungi berkata, anaknya dikejarkan ke hospital selepas pengasuhnya menghubungi dan memberitahu Hafina tidak sedarkan diri kira-kira jam 1 tengah hari pada 20 Februari lalu.

“Ketika saya di tempat kerja pengasuh saya menghubungi memberitahu anak saya tidak sedarkan diri selepas diberi susu.

“Jadi, saya dari Kampung Sega, Rantau bergegas ke rumah pengasuh dan mendapati anak saya kebiruan dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Nazli yang juga Ketua Pemuda Umno Cawangan Sega Tengah berkata, panik dengan keadaan itu dia segera membawa Hafina ke HTJ untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun katanya, anak keduanya itu langsung tidak sedarkan diri sehinggalah dia disahkan meninggal dunia malam semalam (kelmarin).

“Saya diberitahu oleh hospital anak saya mengalami pendarahan dalam otak mengakibatkan otaknya gagal berfungsi.

“Sebelum itu saya ada bertanya dengan pengasuh mengenai keadaan anak saya dan dia memberitahu Hafina tersedak susu ketika berada di dalam buaian,” katanya yang tinggal di Taman Bukit Belida, Rantau.

Nazli berkata, bayinya bersama anak sulung berusia dua tahun baru sebulan ditinggalkan dengan pengasuh terbabit.

Katanya, dia sedih dan terkilan dengan kejadian yang berlaku namun redha dengan ketentuan Allah.

“Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Paroi Jaya selepas solat Zohor dan saya telah membuat laporan polis atas nasihat pihak hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah Seremban, Superintendan Saiful Azly Kamarudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Kita masih menjalankan siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen  31(1) (a) Akta Kanak-KanaK 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.