Jurulatih ATM, B. Sathianathan berkata, kedudukan bahaya 'Si Rusa' selepas mengharungi lima perlawanan masih tanpa menang, tidak menggambarkan kemampuan sebenar mereka yang diakui sebuah pasukan yang bagus, rajin dan liat untuk ditundukkan.
"Mereka hanya sukar menjaringkan gol. Itu yang membezakan kedudukan mereka sekarang. Selain itu, Negeri Sembilan tetap sebuah pasukan yang bukan mudah untuk dihadapi sesiapa pun," katanya, menjelang pertembungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman itu.
Kata bekas jurulatih kebangsaan itu, mana-mana pasukan yang cuba mengambil mudah dengan setiap lawan, hanya akan menjerat diri sendiri dan beliau tidak rela 'Gladiators' menanggung padah lagi selepas disekat Selangor menerusi penentuan penalti pusingan pertama Piala FA, akhir bulan lalu.
Sepanjang tempoh rehat lebih dua minggu liga sejak 25 Januari lalu, katanya, ATM hanya melalui dua perlawanan persahabatan pemanas badan dengan menewaskan Geylang United Singapura 2-1 dan pendahulu Liga Perdana 2013, Polis Diraja Malaysia 1-0.
"Kami dapati kecergasan pemain berada pada tahap terbaik dan mereka sudah cukup bersedia bagi menyambung semula Liga Super. Hanya Mohd. Fitri Omar yang kurang 10 peratus lagi untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130212/su_06/Corot-bukan-bermakna-Negeri-Sembilan-lemah#ixzz2KhCsPtzV
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 Komen