SEREMBAN - Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) melaksanakan pelan kontingensi bekalan air pada musim perayaan Tahun Baru Cina mulai semalam hingga Selasa ini.
  
Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Awamnya Azlan Abdul Aziz berkata   perlaksanaan pelan kontingensi bekalan air akan membolehkan pihaknya membuat pemantauan 24 jam terhadap sistem bekalan air dan bertindak segera untuk membaik pulih bekalan sekiranya berlaku gangguan dan juga menghantar bekalan kecemasan bagi kawasan yang mengalami tempoh gangguan yang lama. 
  
"Lazimnya gangguan bekalan air berlaku pada musim perayaan ini adalah disebabkan peningkatan mendadak kadar penggunaan air pada hari-hari perayaan tersebut.

Disamping itu, terdapat juga faktor lain di luar kawalan kami seperti gangguan bekalan elektrik di rumah pam dan loji rawatan air, penurunan kualiti air mentah serta kerosakan infrastruktur seperti insiden paip lama yang pecah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
  
Katanya pihaknya telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang kerap berhadapan dengan masalah bekalan air menjelang musim perayaan terutamanya lokasi di kawasan tinggi atau di penghujung sistem retikulasi.
  
Katanya untuk mengurangkan bebanan pelanggan, pihaknya akan menempatkan tangki satik dan menghantar bekalan air melalui lori tangki air ke kawasan bermasalah.

"Untuk mengurangkan masalah gangguan bekalan air yang disebabkan kerosakan pada infrastruktur bekalan air, kami telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi setiap infrastruktur kritikal sejak 14 Januari lepas. Kerja-kerja penyelenggaraan ini melibatkan loji utama, injap tekanan, kolam air dan rumah pam bagi tujuan untuk meningkatkan efisiensi sistem bekalan air di negeri ini," katanya.
  
Sehubungan itu, Azlan berkata pihaknya menasihatkan kepada semua pelanggan untuk menggunakan air secara berhemah dan sentiasa mengambil langkah persediaan dengan menyimpan bekalan air bersih yang mencukupi.
  
"Kita juga mengalu-alukan kerjasama daripada pelanggan untuk melaporkan sebarang gangguan bekalan air atau insiden paip pecah yang berlaku sepanjang perayaan ini," katanya.
  
Katanya pihaknya telah mengaktifkan pusat gerakan (pusat tindakan kecemasan) 24 jam yang beroperasi di ibu pejabat SAINS di sini.
  
Para pelanggan yang ingin membuat aduan bekalan air boleh menghubungi SAINS di talian bebas tol 1-800-88-6982 atau SMS aduan ke 06-6033500.     Disamping itu, pelanggan juga boleh menghubungi melalui laman web SAINS di http://www.sainswater.com; http://aduan@sainswater.com; http://www.facebook.co /pusatkhidmatpelanggan.sains.  - Bernama