SEREMBAN - Seorang wanita warga Filipina menempuhi detik mencemaskan apabila diragut dua lelaki di hadapan Hentian Bas dan Teksi Terminal One, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Arnnie Ordonez Canal, 37, berkata, semasa kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu, dia sedang berjalan di hadapan hentian berkenaan bersama beberapa rakan.

“Ketika insiden berlaku, kami baru sahaja pulang dari sebuah pasaraya di situ. Tiba-tiba datang dua lelaki tidak dikenali dari arah belakang sambil menunggang sebuah motosikal, lantas meragut beg tangan saya.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu lantaran terkejut dan takut, melainkan terus pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurut Arnnie, dia tidak dapat mengecam wajah peragut berikutan kedua-duanya memakai helmet semasa melakukan jenayah.

“Saya juga tidak sempat mengingati nombor pendaftaran serta jenis motosikal yang digunakan penjenayah kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

“Bagaimanapun, kami tidak mengalami sebarang kecederaan kerana selain diragut, penjenayah tidak mengapa-apakan kami,” katanya.

Arnnie berkata, dia hanya membuat laporan polis tentang kejadian berkenaan kira-kira jam 11.17 pagi semalam di Balai Polis Jalan Campbell, di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa kerugian wang tunai sebanyak RM300 serta kehilangan pasport miliknya.