2 Februari 2013
Suhaila Razali, 41, berkata, dengan pendapatan tidak menentu suaminya yang bekerja sendiri, ditambah dengan perbelanjaan harian dan persekolahan anak selain mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) tidak memungkinkan dia sekeluarga memiliki rumah sendiri tanpa bantuan berkenaan.
“Saya sudah mohon bantuan ini sejak 2009, kerana sebelum ini tinggal bersama ibu mertua di kampung Parit Seberang.
“Setelah memiliki sebidang tanah di Kampung Jemapoh Tengah, saya berhasrat untuk memiliki rumah sendiri, dan dipersetujui suami. Kemudian, kami mohon bantuan PPRT,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia ditemui selepas majlis perasmian rumah itu yang disempurnakan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek, dan Ketua Wanita Umno Bahagian, Datuk Norhayati Omar, baru-baru ini.
Tambahnya, menzahirkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan terutama Barisan Nasional (BN) kerana memberi peruntukan membina rumah secara percuma untuk golongan yang memerlukan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Seri Jemapoh, Mohd Sharif Udin berkata, kampung tersebut juga pernah menerima peruntukan daripada kerajaan pusat sebanyak RM500,000 pada 2000 untuk tujuan pembangunan.
Menurutnya, ia dimanfaatkan untuk pembinaan balai raya baru, pembinaan rumah PPRT, dan menjalankan aktiviti untuk masyarakat di sini.
“Kami memanfaatkan peruntukkan itu untuk kesejahteraan kampung selain mencantikkan kampung,” katanya.
Terdahulu, program itu mendemonstrasikan cara membuat sos oleh kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan pertandingan gubahan bebas daripada kain batik.
0 Komen