RASAH 3 Feb. - Penduduk di sekitar kawasan Taman Megah dekat Seremban 2 dekat sini cemas selepas kawasan belukar seluas lebih lapan hektar berhampiran kediaman mereka terbakar petang semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Nizam Shaplee berkata, kebakaran itu dikesan penduduk kira-kira pukul 7.30 petang lalu terus menghubungi pihak bomba.
Katanya, seramai 15 anggota dan pegawai berserta sebuah jentera, lori tangki dan van dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran berkenaan.
"Kita menjalankan kerja-kerja pemadaman api kerana khuatir akan merebak ke kawasan penempatan dan sebuah pencawang elektrik di situ.
"Bomba berjaya mengawal kebakaran pukul 1.30 pagi tadi walaupun berhadapan dengan ketiadaan punca air," katanya ketika di hubungi di sini, semalam.
0 Komen