2 Februari 2013
Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, kebakaran tersebut melibatkan kira-kira 60 peratus tingkat tiga bangunan empat tingkat yang diduduki pekerja asing dari sebuah kilang dekat sini.
Penguasa Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Mohd Ehsan Sukardi berkata, seramai 15 anggota membabitkan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan telefon.
"Sebaik tiba, kita dapati api sedang marak. Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran.
“Bagaimanapun, kebakaran hanya melibatkan tingkat tiga bangunan berkenaan dan semua barangan kelengkapan perabot dan katil musnah dijilat api,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, semalam.
Mohd Ehsan berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kesemua warga asing berkenaan sudah pergi kerja.
"Setakat ini, kita masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian juga masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, salah seorang peniaga berhampiran yang dikenali sebagai Tan, 55, berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam kedainya, sebelum terdengar bunyi bising daripada luar kedai.
“Saya segera keluar dan melihat orang ramai menjerit ada api di bangunan sebelah kedai saya. Orang ramai segera menghubungi bomba bagi mengelak kebakaran merebak ke kedai yang lain.
“Saya bergegas mengemas barang berharga dan membawanya keluar dari kedai kerana bimbang kedai turut terbakar sama kerana jarak kedai tidak sampai 10 meter,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
0 Komen