10 Mac 2013
Jamilah menunjukkan bumbung di depan rumahnya senget gara-gara dilanggar lori pemungut sampah.
Menurutnya, insiden itu berlaku pada 7 Mac lalu, jam 11 pagi ketika lori terbabit melalui jalan Rumah Rakyat Pasit.
“Jalan rumah rakyat ini memang agak sempit, bila ada kenderaan bertembung, salah satunya perlu mengalah.
“Lori itu bersaiz besar, jadi apabila melalui selekoh di bahagian rumah saya, tentu agak sempit untuk membelok. Kebiasaannya pemandu lori tahu mengagak jarak untuk melalui jalan itu tetapi kali ini sebaliknya pula. Habis bumbung tepi rumah tercabut,” katanya.
Jamilah berkata, bumbung itu baru sahaja dipasang dalam tahun ini berikutan mengadakan majlis perkahwinan anaknya.
“Memang sangat ralat kerana ia masih baru lagi. Selepas kejadian, saya maklumkan kepada petugas pemungut sampah supaya menggantikan semula bumbung ini.
“Dia menyuruh saya membaiki terlebih dahulu kerosakan yang dialami kemudian membawa resit untuk menuntut kepadanya ataupun syarikat tempat dia bekerja,” katanya.
Namun, disebabkan bimbang, Jamilah akan membuat laporan polis susulan insiden itu supaya tidak mendatangkan masalah di kemudian hari.
“Buat masa ini, saya akan baiki bumbung ini terlebih dahulu, kemudian akan membuat tuntutan kepada pihak mereka.
“Saya berharap pihak berkaitan lebih berhati-hati ketika melalui Rumah Rakyat Pasit kerana jalanya agak sempit. Malah ia boleh mendatangkan kerugian jika perkara yang sama berulang kembali,” katanya.
Dalam pada itu, Jamilah juga berharap pihak berkuasa tempatan dapat melebarkan jalan rumah rakyat itu kerana laluan agak sempit sekali gus menyukarkan pengguna melalui jalan berkenaan.
0 Komen