Pelajar politeknik maut motor rempuh lori rosak
2 Mac 2013
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa, Abdul Hakim Ahmad, 21, yang menuntut di Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Rambai, Melaka maut serta-merta di tempat kejadian selepas tersangkut di belakang lori akibat rempuhan tersebut.
Menurut saksi, Ridzuan Yusof, 20, mangsa dikatakan memotong motosikalnya sebelum motosikal mangsa melanggar belakang lori rosak di kiri lebuh raya.
Katanya, dia sangat terkejut melihat motosikal mangsa meluru laju memasuki bahagian bawah tayar lori berkenaan.
“Saya tengok motosikal mangsa menghala ke sebelah kiri, saya ingat penunggangnya nak hentikan motosikalnya.
“Tetapi saya terkejut apabila melihat motosikal ditunggang mangsa itu menuju terus ke tayar kanan lori sebelum motosikal itu dan penunggangnya 'melekat' di tayar lori tersebut,” katanya.
Ridzuan berkata, dia segera memberhentikan motosikalnya dan dengan pertolongan seorang awam, mereka mengangkat mangsa dan meletakkannya di bahu jalan.
Sementara itu, pemandu lori, Mohd Ali Che Mat, 50, berkata, ketika kejadian dia berada di hadapan lori sementara menunggu bantuan.
“Namun tiba-tiba terdengar dentuman kuat dari arah belakang lori, sehingga menyebabkan saya lari ke belakang untuk melihat apa yang berlaku sebelum ternampak mangsa sudah pun terperosok di bawah lori,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
0 Komen