T. Ganesan, 37, meninggal dunia di rumah itu ketika cuba mempertahankan diri setelah diserang kira-kira pukul 3.30 pagi.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Wahab Harun memberitahu, siasatan awal mendapati bapa mangsa terdengar bunyi bising di bilik anaknya dipercayai akibat pergelutan antara mangsa dan suspek.
"Selepas diperiksa, dia menemui anaknya terbaring dalam keadaan berlumuran darah," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Menurut Abd. Wahab, siasatan mendapati mangsa diserang dan ditetak dengan senjata tajam di tangan sebelum menetak kepala dan leher mangsa bertubi-tubi sehingga mengakibatkan kematian.
"Pembunuhan ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini, diminta membantu polis," ujarnya.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Datuk M. Veloo berkata, anak saudaranya itu baru sahaja pulang ke rumah bapanya sejak tiga hari lalu.
"Mendiang bekerja secara kontrak di Taiping, Perak dan semasa balik ke rumahnya baru-baru ini, dia membawa bersamanya semua pakaian. Saya syak mendiang sudah berhenti kerja," katanya ketika dihubungi.
Menurut Veloo, mangsa merupakan anak pertama daripada tujuh beradik dan tidak pernah memberitahu keluarganya sebarang masalah yang dihadapinya.
Mayat mendiang dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat, sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.
0 Komen