Rumah 15 tahun dibaik pulih
1 Mac 2013
P Valliammah, 51, berkata, dia ditinggalkan suami tanpa sebarang nafkah dan hanya menggunakan upah menoreh di kebun orang untuk belanja harian.
Menurutnya, dia tidak mampu membaiki atap rumahnya yang bocor memandangkan duit yang diperolehnya hanya cukup makan.
"Saya tidak sangka rumah saya terpilih untuk menerima bantuan baik pulih daripada TNB dan sesungguhnya ia bermakna buat saya dan keluarga.
"Adun Jeram Padang, Datuk Vs Mogan juga banyak membantu saya dalam memastikan keadaan saya dan anak selesa," katanya yang mempunyai seorang anak perempuan.
Valliammah ditemui pada Majlis Perasmian Projek Mesra Rakyat TNB peringkat Negeri Sembilan di kediamannya di Jelai-Rompin, semalam.
Hadir sama, Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi), Adelina Iskandar dan Pengurus Besar TNB Negeri Sembilan, Kamal Ariffin A Rahman.
Sementara itu, anak Valiammah, N Jivithna, 21 berkata, dia gembira apabila rumah yang semakin uzur sudah dibaik pulih.
"Selepas ini tiada lagi masalah takungan air longkang tersumbat, siling berlubang mahupun rumah dimasuki air akibat kebocoran bumbung ketika musim hujan," katanya yang juga penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM140.
Manakala Adelina berkata, projek kemasyarakatan TNB bakal membuka lembaran baru ibunya yang selama ini mengidamkan kediaman lebih selesa.
Menurutnya, ia dilaksanakan susulan saranan kerajaan supaya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti TNB memainkan peranan membantu kerajaan membaiki rumah kediaman golongan sasaran antaranya penduduk luar bandar, ibu tunggal, warga emas dan anak yatim.
“Melalui projek ini juga, TNB akan membaiki 24 rumah dengan kos setiap satu sekitar RM10,000 di seluruh semenanjung bagi tempoh setahun.
“Setiap rumah ini akan menerima bantuan membaiki rumah dan bukannya membina baru,” katanya.
0 Komen