'Tahanan' kini sudah ada IC
24 Mac 2013
N Arumugam, 52, yang juga bekas penari kebudayaan di sebuah kuil di Port Dickson, menerima Mykad di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Daerah Port Dickson, Khamis lalu.
Arumugam yang mempunyai masalah percakapan memberi reaksi muka dan pergerakan bahasa tubuhnya sebagai tanda gembira dengan penerimaan Mykad tersebut.
Inisiatif membebaskan dan mendapatkan Mykad Arumugam adalah usaha yang dilakukan Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Manusia Malaysia diketuai Presidennya, T Kamalanathan.
Kamalanathan berkata, pihaknya mengambil masa lebih sembilan bulan untuk memastikan Arumugam yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dibebaskan daripada tahanan.
“Kami mendapat surat beranak Arumugam pada 17 Januari lalu selepas membawa saudara maranya serta beberapa rakannya membuat proses angkat sumpah di mahkamah pada Ogos tahun lalu," katanya.
Sinar Harian difahamkan, Arumugam ditahan pada 2010 dalam satu operasi Imigresen di sebuah kuil di Port Dickson kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng sebelum dipindahkan ke Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan pada April 2011 dan dipindahkan ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Melaka pada 13 September 2012.
0 Komen