Nasib Wafiy dapat perhatian
24 Mac 2013
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah berkata, beliau akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) bagi membantu Ahmad Wafiy Adli Isham, 1 tahun 8 bulan, untuk belanja membeli ubat yang mencecah RM2,000 sebulan.
Menurutnya, pihaknya kini sedang menanti dokumen diperlukan bagi membolehkan permohonan bapa kanak-kanak itu, Adli Isham Abas, 35, diproses mengikut prosedur ditetapkan.
“Saya akan membawa perkara tersebut ke pihak Mains dalam masa terdekat ini dan akan berbincang untuk memberikan bantuan sepatutnya kepada adik Wafiy.
“Apa yang pasti, kanak-kanak ini perlu dibela dengan sebaik mungkin bagi memberi semangat kepadanya untuk menjalani kehidupan seharian," katanya ketika menziarah keluarga berkenaan di Rumah Rakyat Panchor, di sini, semalam.
Mohammed Najeeb berkata, jika sebelum ini, ibu bapa kanak-kanak itu terpaksa berhenti memberi ubat akibat masalah kewangan, namun dengan bantuan dihulurkan nanti, bekalan ubat boleh diteruskan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kanak-kanak berkenaan yang tidak mampu bergerak berikutan urat tunjangnya lembik dan bergantung dengan ubat khas bernilai RM2,000 untuk empat botol.
Bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pembancuh air di sebuah kedai makan terpaksa memberi ubat kepada anaknya kerana tiada sumber kewangan mencukupi.
0 Komen