Kaji semula papan tanda gergasi
12 Mei 2013
Adun Senawang, P.Gunasekaran berkata, kedudukan papan tanda yang besar di hadapan premis tersebut menimbulkan kebimbangan di kalangan peniaga berikutan akan menghalang premis mereka.
Menurutnya, lokasi papan tanda itu adalah tidak sesuai kerana ia akan membelakangi kawasan kedai, sekaligus menghalang pandangan orang ramai untuk melihat premis berkenaan.
“Akan timbul pelbagai masalah sekiranya projek pembinaan papan tanda gergasi itu dibina di hadapan premis perniagaan di kawasan itu.
“Orang ramai akan sukar melihat keadaan premis ini, sama ada kedai di kawasan ini beroperasi atau tidak, kerana pandangan mereka terhalang disebabkan pembinaan papan tanda tersebut.
"Oleh sebab itulah, kita akan cuba merayu kepada pihak berwajib agar pembinaan papan tanda tersebut dialihkan ke tempat lain, di suatu tempat yang lebih sesuai,” katanya pada sidang media, dekat sini kelmarin.
Turut hadir, Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat satu surat bantahan dan memorandum yang akan ditandatangani peniaga di kawasan ini, bagi menunjukkan perasaan tidak puas hati.
0 Komen