Pekerja butik dakwa dianiaya
Mohamad Latif menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Seremban.
SEREMBAN – Tanpa sebarang notis, empat pekerja sebuah butik pakaian di pasaraya di sini kecewa akibat digantung kerja oleh majikannya, kerana dituduh mencuri barang syarikat berjumlah RM9,000.

Mohammad Latif Mohammad Taib, 21, mendakwa, dia dan tiga lagi rakannya yang bekerja di situ langsung tidak diberi peluang membela diri tetapi terus digantung kerja pada hari sama.

Menceritakan kejadian Sabtu lalu, Mohammad Latif berkata, ketika sedang bekerja dia dan seorang rakannya dipanggil majikannya secara tiba-tiba yang menuduhnya mengambil stok barang dibutik terbabit.

“Saya cuba membela diri kerana saya tidak ambil barang tersebut dan cuba berbincang dengannya.

“Tapi dia beritahu ini arahan daripada pihak atasan syarikat dan meminta kami mengemaskan barang dan digantung kerja selama dua minggu,” katanya.

Lebih mengejutkan, katanya, majikannya memberitahu dua lagi rakannya yang bercuti pada hari berkenaan turut digantung kerja atas tuduhan sama.

Menurutnya, majikannya juga meminta dia dan rakan-rakannya membayar ganti rugi dan mengugut akan membuat laporan polis jika tidak berbuat demikian.

“Jadi untuk membela diri, saya membuat laporan polis kerana saya tidak mencuri atau mengambil barang syarikat sesuka hati.

“Malah, saya juga sudah membuat laporan di pejabat buruh kerana berasa dianiaya majikan,” katanya yang sudah bekerja sejak dua bulan lalu.

Selain itu, katanya, gaji bulanan yang sepatutnya diterima semalam turut digantung.

Menurut Mohamad Latif, sebagai majikan dia tidak sepatutnya bertindak sesuka hati seperti itu kerana ia menganiaya pekerja.