31 Mei 2013
Au Fook Sang, 54, dipercayai hilang sejak keluar rumah 20 Mei lalu dan sehingga ke hari ini masih belum berjaya dikesan.
Menurut anak saudaranya, Foong Pooi Kuan, 31, Fook Sang keluar dari rumah pada jam 12.30 tengah hari berseorangan pada hari kejadian dengan memandu kereta jenis Honda Insight berwarna kelabu.
“Biasanya dia akan keluar untuk minum dan makan di medan selera sekitar Seremban dan kemudiannya akan balik ke rumah seperti biasa.
“Jika mahu ke mana-mana, dia akan beritahu kerana dia belum berkahwin dan tinggal bersama kami sekeluarga di Taman Chip Aik,” katanya ketika ditemui di Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Lobak, di sini, semalam.
Tambahnya, pelbagai usaha telah dilakukan, termasuklah mencarinya di semua hospital di negeri ini, termasuklah hospital di negeri berhampiran, iaitu Melaka dan Serdang, namun gagal.
“Kami juga telah memeriksa nombor pendaftaran kereta tersebut dengan pihak berkuasa, kerana bimbang mungkin dia terlibat dalam kemalangan atau sebagainya, namun itu juga tidak berjaya, malah telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
“Kebimbangan kami semakin memuncak apabila tiada sebarang berita mahu pun petanda dengan kehilangan tersebut, walau pun sudah memasuki hari kesebelas,” katanya.
Jelasnya, pada hari kejadian, Fook Sang, seorang yang tinggi dan kurus memakai baju T jenama Polo berjalur hijau.
Keluarganya berharap sesiapa yang menjumpai Fook Sang agar menghubungi talian 012-6393663 atau 012-6518603, atau lapor ke mana-mana balai polis berdekatan.
0 Komen