9 Jun 2013
Kamarulzaman berkata, difahamkan adiknya hilang selepas keluar bersama seorang lelaki yang baru dikenali bernama Yusri, 27, sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, adiknya itu baru dua bulan bekerja di sebuah kedai cermin mata di Ipoh dan sering keluar bersama seorang lelaki menaiki Proton Waja berwarna putih.
"Pada kali pertama keluar, saya dimaklumkan oleh teman serumah Ain yang adiknya pulang ke rumah dalam keadaan mamai seolah-olah dipukau dan membawa pulang seutas gelang tangan berwarna perak.
"Teman serumah pernah menegur adiknya itu tetapi tidak diendahkan sebelum Ain keluar rumah sehelai sepinggang pada jam 1 pagi," katanya.
Kamarulzaman berkata, dia dan keluarga kini buntu memikirkan nasib adik bongsu daripada tiga beradik itu.
"Selepas rakan serumah memaklumkan kehilangan Ain, saya bergegas ke Ipoh. Sudah merata tempat saya mencari namun usaha tidak berhasil.
"Saya juga cuba menghubungi telefon bimbit Ain tetapi talian dimatikan. Ini kali pertama Ain berjauhan dari keluarga, sebelum ini kami berat hati membiarkan Ain bekerja di Ipoh," katanya.
Katanya, berkemungkinan adiknya itu dipukau oleh lelaki yang baru dikenali hingga bertindak di luar kawalan.
"Berdasarkan soal selidik daripada rakan-rakan dan pihak berkaitan, lelaki terbabit dipercayai memiliki rekod lampau, malah kereta Proton Waja itu juga bukan atas nama lelaki berkenaan.
"Saya harap Ain pulang segera dan orang ramai yang ada maklumat mengenai Ain boleh menghubungi talian 019-7915994 dan 06-4851578," katanya yang membuat laporan berhubung kehilangan adiknya pada 28 Mei di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah.
0 Komen