Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2010/05/31
TUJUH pemain pelapis kebangsaan menjadi sandaran Negeri Sembilan dalam merealisasikan sasaran mengutip dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa menerusi acara badminton pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-13, di Melaka bermula 10 sehingga 19 Jun ini.
Mereka membabitkan tiga pemain lelaki iaitu Mohd Arif Abd Latif, Loh Wei Sheng dan Goh Sze Onn serta empat pemain wanita - Ng Hui Lin, Ng Hui Ern, Lim Yin Loo dan Nairul Syuhada Abd Latif.
Pengurus pasukan, Ng Chin Chai, berkata Mohd Arif yang pernah muncul naib juara remaja Asia dan juara remaja kebangsaan manakala Ng Hui Lin, yang turut menyerlah dalam kejohanan kebangsaan adalah teraju utama untuk meraih dua pingat emas menerusi acara perseorangan masing-masing.
“Negeri Sembilan amat dahagakan kejayaan memenangi pingat emas selepas di Terengganu kami hanya mampu membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa dan kali ini kami mahu memadamkan rekod itu dengan keputusan membanggakan.
“Dengan membariskan pemain berprestasi tinggi seperti Mohd Arif dan Ng Hui Lin serta yang lainnya, saya yakin pencapaian pasukan Negeri Sembilan kali ini lebih baik malah lebih baik daripada pencapaian pada Sukma di Kedah pada 2006, yang membawa pulang satu emas, satu perak dan tiga gangsa,” katanya di Seremban, semalam


0 Komen