2010/05/31
REMBAU: Pemilik tanah pertanian tidak mempunyai keupayaan mengusahakan tanah, boleh dapatkan bantuan agensi kerajaan atau sektor swasta memajukan tanah mereka, terutama untuk projek pertanian makanan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata antara agensi berkenaan ialah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Risda dan Felcra yang mempunyai keupayaan dan kemampuan mencukupi memajukan tanah terbiar.
Katanya, pemilik tanah tidak sepatutnya membiarkan tanah pertanian tanpa dimajukan dengan aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan dan taraf hidup
“Malangnya masih ada penduduk negeri ini yang membiarkan tanah pertanian mereka terbiar begitu saja tanpa dimajukan.
“Ini bukan saja merugikan diri sendiri, malah boleh menimbulkan pelbagai masalah terutama dari segi keselamatan, selain tidak membantu kerajaan yang berusaha meningkatkan pengeluaran makanan,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan PPK Rembau ke-31, di Dewan Merdeka, di sini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota, Datuk Dr Awaluddin Said; Adun Chembong, Zaiful Bahri Idris dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Datuk Ibrahim Yahya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anak ahli PPK yang berjaya dalam pelajaran, termasuk memasuki institusi pengajian tinggi serta RM200 kepada 34 ketua unit bagi kegunaan aktiviti tahunan.
Menteri Besar berkata, usaha meningkatkan pengeluaran makanan diberikan perhatian kerana ketika ini hanya 20 peratus bahan makanan dihasilkan di negeri ini, manakala selebihnya dari negeri lain.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada makanan import yang merugikan negara dari segi hasil sedangkan masih banyak tanah terbiar yang subur tidak dimajukan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri menetapkan sasaran meningkatkan pengeluaran bahan makanan sehingga 40 peratus menjelang 2012


0 Komen