2010/05/31
SEREMBAN: Pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan koperasi digalakkan supaya mempelbagaikan produk mereka supaya mudah dijual di pasaran, seterusnya dikomersialkan ke luar negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pada masa sekarang pengusaha PKS dan usahawan koperasi banyak mengeluarkan produk berasaskan makanan serta kecantikan dan ia menunjukkan satu persaingan tidak kuat.
Beliau berkata, untuk memudahkan sesuatu produk itu diterima di pasaran, perlu ada daya kreatif dan inovatif selain usaha untuk meningkatkan kualiti produk, cara pembungkusan serta sentiasa memastikan bekalan mencukupi
"Jika pengusaha PKS dan usahawan koperasi mahu produk mereka mudah dijual di pasar raya, mereka perlu memastikan tiga elemen penting iaitu kualiti, pembungkusan dan bekalan selain tidak tertumpu hanya kepada produk yang sudah banyak di pasaran," katanya selepas Majlis Perasmian Co-op Fest Zon Selatan di Paroi di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, kerajaan kini menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) bagi produk PKS perlu ditingkatkan kepada lima peratus menjelang 2012 berbanding kini hanya satu peratus.
"Namun, pada 2020, kita menyasarkan GDP bagi produk keluaran PKS sebanyak 10 peratus. Sehubungan itu, banyak usaha perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan sasaran tercapai," katanya.
Sementara itu, bagi isu bekalan gula, Ismail Sabri berkata, isu itu tidak sepatutnya timbul kerana bekalan sentiasa mencukupi, namun kerana masalah kecil seperti pekedai tidak mendapat bekalan daripada pemborong akibat masalah hutang, isu itu menjadi besar sehingga menimbulkan pembelian panik di kalangan pembeli.
Sementara itu, apabila ditanya mengenai cadangan memansuh atau mengurangkan subsidi bagi mengelakkan negara mengalami kerugian, Ismail Sabri berkata, buat masa ini kerajaan sedang menunggu reaksi daripada rakyat sebelum membuat sebarang keputusan


0 Komen