BANDAR SERI JEMPOL- Dalam tempoh lapan bulan lagi, negara bakal mengalami perubahan besar dari segi pembangunan digital dan teknolgi maklumat yang akan menggunakan teknologi terkini iaitu teknologi LTE atau Long Term Evolution dari Eropah.
Teknologi itu akan menggantikan perkhidmatan 3G dan 4G yang buat masa kini hanya bersifat sementara.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, teknologi paling terkini itu akan memastikan penduduk memperoleh perkhidmatan jalur lebar lebih baik dari sekarang.
Menurutnya, walaupun tidak dapat membina teknologi itu dalam sekelip mata, tetapi ia mampu membantu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di negara ini.
“Dengan adanya teknologi baru ini nanti, banyak perubahan yang akan berlaku dalam kehidupan, antaranya boleh menonton televisyen menerusi telefon bimbit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Digital Jempol di Kompleks Rakan Muda, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin.
Digital Jempol adalah kawasan digital ketiga selepas Digital Pekan di Pekan, Pahang, Januari lalu dan Digital Pagoh di Pagoh, Johor, Jun lalu.
Digital Jempol turut menyediakan pelbagai kemudahan jalur lebar kepada penduduk setempat.
Sementara itu, Dr Rais berkata, kementerian sudah mengedarkan 120,000 komputer riba kepada pelajar yang layak di seluruh negara menerusi fasa pertama.
“Fasa kedua akan dimulakan selewat-lewatnya Februari depan dengan 300,000 komputer riba lagi.
“Semua komputer riba ini akan diserahkan kepada Ahli Parlimen kawasan masing-masing kerana mereka yang akan menentukan siapa yang layak menerima komputer ini,” katanya.
0 Komen