PORT DICKSON - Tahap keselamatan bagi Port Dickson International
Challenge (PDIT) Triathlon ke-17 ini adalah terbaik dan mengikut seperti mana
yang ditetapkan.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, tahap keselamatan
kejohanan ini berada dalam keadaan terbaik termasuk penyediaan pasukan
keselamatan secara berganda.
“Semua aspek keselamatan yang ditetapkan telah pun dipatuhi penganjur, lagi pun
ini adalah tahun ke-17 bukannya baru dibuat, acara yang telah lama
dilaksanakan.
“Saya difahamkan ahli keluarga berpuas hati dengan aspek
keselamatan, apa yang berlaku itu disebabkan kemalangan bukan disebabkan
kecuaian manusia atau penganjur.
“Pertandingan ini sudah semestinya mempunyai risiko, kita juga
tidak mahu perkara ini terjadi, segala aspek keselamatan telah pun dipatuhi
malah saya dimaklumkan tahap keselamatan pada tahun ini digandakan dan
dipertingkatkan berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat di kawasan pantai
tersebut semalam.
Hadir sama Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri,
Norazam Khamis.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sebarang aktiviti laut akan
dihentikan serta-merta sehingga mangsa yang hilang itu ditemui.
Pada tahun ini, seramai 1,230 peserta dari 39 negara ambil
bahagian dalam sukan lasak itu selama dua hari, bermula Sabtu, di Avilion
Admiral Cove, di sini.
Pelepasan peserta anjuran LPNS dan MPPD itu disempurnakan
Aminuddin Harun pada 7 pagi tadi.
Empat kategori dipertandingkan iaitu Sprint Triathlon yang
membabitkan renang sejauh 750 meter, berbasikal 20km dan berlari pada jarak
5km.
Bagi kategori Olimpik Distance Triathlon, peserta perlu berenang
sejauh 1.5km, berbasikal 40km dan berlari sejauh 10km.
Dua lagi kategori ialah untuk kanak-kanak iaitu Kids Triathlon
yang memerlukan peserta berenang 150 meter, berbasikal empat kilometer dan
berlari 800 meter serta satu lagi kategori berenang 300 meter, berbasikal 8km
dan berlari 1.6km.
0 Komen