Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


USIM destinasi ke-4 disinggahi program promosi derma organ

Dikirim oleh Warieh Rabu, 21 Disember 2011 0 Komen



Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah (kanan) melepaskan peserta Walkaton Jelajah Kempen Pendermaan Organ di USIM, Seremban, baru-baru ini.


SEREMBAN 20 Dis. - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini dipilih sebagai destinasi kunjungan keempat program Jelajah Promosi Pendermaan Organ Negara di peringkat Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Upacara perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Lam Thye dalam ucapan ringkasnya berkata, program tersebut bertujuan memupuk sekali gus meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menderma organ.

''Jelajah ini telah diadakan di Melaka, Kedah dan Sarawak dan bagi negeri ini kita telah memilih Usim sebagai salah satu destinasi untuk mempromosikan kempen menderma organ bagi Negeri Sembilan.

''Ini merupakan destinasi keempat jelajah ini dan merupakan penutup program promosi pendermaan organ pada tahun ini," katanya di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung senario pendermaan organ di negara ini, beliau memberitahu, rakyat Malaysia telah menunjukkan perubahan positif terhadap kesedaran menderma organ.

''Ini kerana kita dapat lihat wujudnya jumlah penderma dan pengikrar pendermaan organ dari tahun ke tahun.

''Statistik menunjukkan, sepanjang tahun ini jumlah pengikrar yang mendaftar sehingga bulan November mencatatkan seramai 25, 719 orang." katanya.

Jelasnya lagi, berdasarkan kepada statistik Pusat Sumber Pemindahan Kebangsaan, golongan berumur 11 hingga 30 tahun merupakan bilangan pengikrar paling ramai yang membabitkan jumlah 103,611 individu.

''Ini merupakan satu perubahan yang membanggakan kerana kesedaran di kalangan golongan muda untuk tampil mendaftar sebagai pengikrar semakin meningkat pada tahun ini," katanya.

Menurutnya, melalui pelaksanaan kempen kesedaran pendermaan organ yang dijalankan terutamanya menerusi media, ia telah berjaya meningkatkan kesedaran dan mengubah persepsi negatif rakyat sekali gus memperlihatkan respons positif terhadap pendermaan organ.


SEREMBAN 20 Dis. - Siasatan polis percaya tindakan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Taman Rasa Sayang dekat Senawang di sini, memandu sebuah bas kilang tengah malam semalam, adalah kerana terdesak hendak melarikan diri selepas terlibat dalam satu pergaduhan di situ.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin berkata, remaja tersebut yang melalui kawasan itu secara kebetulan ternampak kunci kenderaan berkenaan ditinggalkan pemandunya lalu menghidupkan enjin dan memandunya.

"Berdasarkan siasatan awal, remaja terbabit dalam keadaan terdesak selepas bergaduh dengan sekumpulan remaja di taman itu. Remaja itu juga tidak tinggal di taman perumahan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyiasat kemungkinan remaja itu mempunyai niat hendak menggunakan bas tersebut untuk melanggar kumpulan remaja yang bergaduh dengannya.

"Empat pemilik kenderaan yang rosak selepas dilanggar bas berkenaan telah membuat laporan polis semalam," ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan penduduk Taman Rasa Sayang di Senawang dekat sini gempar selepas sebuah bas kilang yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 13 tahun tiba-tiba merempuh empat buah kereta diletakkan di taman perumahan itu, tengah malam Ahad lalu.

Kata Saiful Azly, remaja terbabit kini ditahan reman selama tiga hari sehingga hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

PESTANS kecewa gelagat PSM Oleh Hussain Said

Dikirim oleh Warieh Selasa, 20 Disember 2011 0 Komen


hussain@bharian.com.my
2011/12/20

Masih belum lulus permohonan jadi ahli gabungan sejak Jun lalu

PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS) terkilan dengan gelagat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih belum meluluskan permohonan untuk menjadi ahli gabungan badan induk itu yang sudah dikemukakan sejak Jun lalu.
Timbalan Presiden PESTANS, Zambry Fareed berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan itu di Pejabat PSM di Pulau Pinang dan Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat, tetapi hingga hari ini badan induk itu belum memberi sebarang keputusan.
“Namun, apa yang musykil jika kami belum menjadi ahli gabungan, mengapa penyertaan kami dalam Kejohanan Piala Presiden PSM diterima,” katanya.

Zambry berkata, pihaknya hanya menyedari PESTANS masih belum menjadi ahli gabungan selepas Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail memintanya keluar ketika menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PSM, Sabtu lalu.

“Saya akui tidak menerima surat jemputan untuk menghadiri mesyuarat itu, tetapi menerima jemputan menerusi laman sosial Facebook. Tetapi, saya agak terkilan dengan cara saya diminta keluar, malah beberapa ahli Majlis Tertinggi PSM juga menyuarakan kekesalan dengan tindakan itu.

“Apa pun, saya menegaskan penyertaan PESTANS sebagai ahli gabungan PSM adalah untuk membantu PSM membangunkan serta memajukan permainan tradisi ini, apa lagi, ketika ia berada dalam kemerosotan yang menuntut semua pihak bersatu memulih dan mengangkat martabat permainan ini semula.
“Malah, komitmen kami sudah terbukti dengan menghantar banyak regu menyertai pelbagai kejohanan termasuk anjuran PSM dengan pembiayaan sendiri,” katanya.

Zambry berkata, PESTANS adalah persatuan sepak takraw yang baru dihidupkan di Negeri Sembilan selepas persatuan lama sebelum ini tidak aktif sejak empat tahun lalu.


SEREMBAN 19 Dis. - Hasrat seorang warga emas untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital selepas mengalami penyakit semput tidak kesampaian selepas dia maut dalam satu kemalangan di Kilometer 2.5 Jalan Jelebu, dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, Saari Mohd. Ali, 62, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditemui oleh orang ramai dalam keadaan terbaring di tepi jalan kira-kira pukul 7 pagi selepas dipercayai terbabas ketika menaiki motosikalnya itu.

Seorang rakan sekerja mangsa, Mohd. Saad Alias, 60, berkata, sebelum kejadian dia bersama Saari sedang bekerja di sebuah kilang kira-kira 100 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.

Dia yang terkejut dengan kejadian yang menimpa sahabatnya memberitahu, pada pukul 4.30 pagi, Saari yang berasal dari Rembau dekat sini ada mengadu bahawa dia mengalami lelah dan mahu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Dia bertegas untuk pergi seorang diri dengan menunggang motosikal Honda Ex-5 tetapi selepas beberapa jam saya hairan kerana dia tidak pulang ke tempat kerja.

"Saya kemudian menghubungi anak Saari tetapi dimaklumkan bahawa dia juga tidak pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di sini.

Namun jelasnya, kira-kira pukul 7 pagi dia dimaklumkan oleh seorang rakannya, Saari ditemui terbaring dan tidak bernyawa di tepi jalan tidak jauh dari tempat dia bekerja.

"Untuk mendapatkan kepastian saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut apabila melihat mayat rakan saya terbaring kaku di sisi motosikalnya.

"Ketika ditemui mayat mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan cuma ada sedikit luka di bahagian tangan," jelasnya.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya.



Gerai menjual kayu gaharu antara tempat tumpuan di Minggu 1Malaysia Best di Rabat, Maghribi, kelmarin.


RABAT 19 Dis.- Percayakah anda bahawa kayu gaharu seberat satu gram dijual pada harga 90 Euro (RM371.70) di Maghribi?

Tidak hairanlah gerai menjual kayu gaharu yang diusahakan oleh Kedaik Agarwood Sdn. Bhd., di Minggu Karnival 1Malaysia Best di pekarangan pasar raya Aswak Assalam di sini menjadi tumpuan pengunjung.

Difahamkan, golongan pertengahan dan atasan masyarakat di negara ini sememangnya suka kepada bau-bauan harum daripada kayu gaharu.

Minyak pati kayu gaharu Malaysia seberat 1 gram dijual pada harga AS$30 dolar (RM112) manakala kayu gaharu pula sebanyak AS$45 dolar (RM144) di karnival ini.

Pada masa ini, kayu gaharu itu dicari oleh masyarakat Orang Asli di dalam hutan sekitar Terengganu, Johor dan Pahang sebelum dihantar di kilang milik Kedaik Agarwood, di Rompin, Pahang.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Mohd. Sani Mistam (gambar) berkata, industri kayu gaharu mempunyai potensi untuk dimajukan dan meneroka pasaran global kerana pati kayu gaharu ini boleh diproses kepada pelbagai bauan minyak wangi.

"Minyak gaharu ini kemudiannya dicampur dengan campuran buah-buahan dan bunga dengan pelbagai haruman supaya kewangiannya kekal lama," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Dengan adanya industri kayu gaharu ini, beliau yakin ia boleh memberi peluang kepada komuniti Orang Asli menambah pendapatan mereka selain mencari buah-buahan hutan lain untuk menampung kehidupan seharian.

Melihat akan potensi itu, Jakoa telah menanam 4,500 batang pokok gaharu dalam kebun getah di perkampungan Orang Asli Belihoi, dekat Seremban untuk mengembangkan lagi industri tersebut.

Mohd. Sani memberitahu, pihaknya juga bercadang untuk menanam pokok gaharu di beberapa lagi kawasan perkampungan Orang Asli di seluruh negara dan tempoh matang pokok tersebut ialah sekitar 8 hingga 10 tahun. - Utusan


SEREMBAN 18 Dis. - Penambahan ilmu agama serta pemantapan akidah antara usaha berterusan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam kalangan saudara baru di negeri ini.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, antara langkah yang dilaksanakan termasuklah mengadakan kelas-kelas pengajian Islam secara berterusan untuk saudara baru yang baru memeluk agama Islam.

''Selain itu juga, kita menyediakan program-program keagamaan termasuklah D'Alam Saudara Muslim, Kursus Tasawwuf Islam, D'Hijrah Suadara Muslim, D'Syahadah Muslim, solat terawih di perkampungan Orang Asli dan bantuan kewangan MAINS.

''Bagi mengilap kefahaman mereka mengenai ilmu agama dan pemantapan akidah, kesemua saudara baru ini turut dihantar mengikuti pengajian di Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim)," katanya di sini.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Besar menjelaskan, urusan hal ehwal saudara baru adalah dibawah tanggungjawab Unit Ukhuwah, Bahagian Dakwah JHEAINS.

Katanya, antara peranan yang dimainkan oleh unit berkenaan termasuklah memberi perhidmatan berkaitan saudara baru seperti memeluk agama Islam, pengurusan kursus dan program.

''Unit juga berperanan dalam aspek pengurusan dakwah di perkampungan Orang Asli selain menguruskan bantuan serta kebajikan saudara-saudara baru," jelas beliau.

Jelas Mohamad, ini selaras dengan hasrat pihaknya untuk terus meningkatkan lagi syiar Islam di negeri ini melalui pendidikan yang berterusan dalam memastikan mereka yang memeluk agama Islam diberi pemantapan dari aspek ilmu agama dan akidah.



SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa Jabatan Imigresen negeri dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sekitar Nilai, Seremban, kelmarin.


SEREMBAN 18 Dis. - Sikap seramai 20 pelajar kolej termasuk dua warga Nigeria tidak membawa dokumen pengenalan diri semasa keluar ke bandar menerima padah apabila mereka ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen negeri di sekitar Nilai, di sini malam tadi.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, mereka yang ditahan dalam operasi pukul 9 malam itu, hanya mengemukakan kad pelajar dan surat dari sebuah kolej swasta di sini, kononnya adalah penuntut di kolej berkenaan.

"Bagaimanapun, apabila diminta menunjukkan dokumen sah atau pas pelajar, mereka gagal berbuat demikian.

"Mereka yang ditahan ialah dua rakyat Nigeria, Nepal (tiga), Mesir (tiga), Myanmar (sembilan) dan Republik Of Guinea (tiga)," katanya ketika ditemui selepas operasi di sini semalam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dalam operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun.

Kata Faizal Fazri, semua warga asing tersebut ditahan untuk siasatan lanjut kerana kad pelajar dan surat daripada kolej berkenaan tidak boleh dijadikan sebagai dokumen perjalanan yang sah.

"Kita tidak tahu sama ada dokumen yang diberikan mereka itu benar atau palsu atau taktik terbaharu warga asing untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

"Pihak Imigresen akan menyiasat dakwaan mereka ini termasuk berhubung dengan pihak kolej terbabit untuk mengetahui status sebenar mereka sebelum mengambil tindakan seterusnya," ujarnya.



OMARDIN Mauju beramah mesra dengan kontinjen muda dari India selepas merasmikan Kejohanan Silambam Sedunia Kali Kedua di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan, semalam.


SEREMBAN 18 Dis. - Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) mendesak kerajaan tidak lagi berkompromi dengan mereka yang sanggup mencemar agama Islam dan merendahkan martabat bangsa Melayu selain sanggup mencabar undang-undang negara.

Mahagurunya, Tan Sri Omardin Mauju berkata, sudah tiba masanya kerajaan bertegas dalam soal itu kerana pelbagai isu yang berlaku ketika ini bukan sahaja memalukan, malah merosakkan akidah umat Islam dan umat Melayu.

Merujuk kes seorang pemuda Melayu yang dilaporkan berkahwin dengan seorang lelaki warga asing di luar negara, katanya, perkara itu amat mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku.

"Saya sendiri tidak faham mengapa lelaki berkenaan bertindak sedemikian. Mungkin dia dipergunakan oleh segelintir pihak yang mahu menjatuhkan imej bangsa Melayu dan agama Islam. Ini perkara yang serius dan perlu diambil perhatian kerana maruah bangsa Melayu dan akidah umat Islam telah tercalar.

"Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya berharap kerajaan jangan tunggu untuk mengambil tindakan kerana kalau dibiarkan, ia akan merosakkan anak muda di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Silambam Sedunia Kali Kedua di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.

Jelas Omardin, beliau percaya ada segelintir pihak yang menjadi dalang di sebalik perbuatan songsang lelaki berkenaan berdasarkan gambar pemuda berkenaan yang mengenakan pakaian tradisional Melayu pada hari perkahwinannya itu.

"Kenapa dia tidak pakai pakaian Barat sahaja pada upacara songsang itu? Sudahlah berkahwin cara Kristian. Memang saya nampak ada unsur sabotaj untuk menjatuhkan Melayu dan Islam," katanya.

Justeru beliau menyeru kepada semua NGO memerangi perkara seperti itu kerana jika dibiarkan, ia bukan sahaja merosakkan akidah umat Islam malah menjadi barah kepada generasi muda akan datang.



SEBELUM bergelar penyanyi J. Sham merupakan seorang guru muzik.


Malah, penyanyi berusia 67 tahun ini juga sukar melupakan kenangan mencipta lagu tersebut.

Kata J. Sham, lagu itu antara yang terawal diciptanya sebelum dia berkahwin di mana ia telah melonjakkan namanya sebagai penyanyi pop yeh-yeh pada tahun 1960-an.

Menurut datuk kepada dua orang cucu ini, lagu Suratku Untukmu secara tidak langsung mengingatkannya pada rumah nombor 66 Jalan Seremban-Tampin yang pernah didudukinya.

Katanya, di situlah lagu malar segar yang penuh nostalgia itu diciptanya empat dekad lalu.

"Apabila bercakap tentang lagu itu, saya pasti akan teringatkan rumah itu yang saya sewa dari tahun 1966 hingga 1969. Idea mencipta lagu dan lirik lagu Suratku Untukmu itu saya dapat sewaktu menyewa selama tiga tahun di situ. Banyak kenangan sewaktu tinggal di situ.

"Saya pun tidak tahu apa jadi dengan rumah itu tetapi dengar cerita ia masih diduduki sampai sekarang. Ketika menyewa di rumah itu, saya bekerja sebagai guru bahasa Inggeris dan muzik di Sekolah Menengah Datuk Taha, Gemenceh, Negeri Sembilan," katanya kepada S3.

Jelas J. Sham yang kali terakhir muncul dengan lagu baru berjudul Mencari Sinar Bahagia pada tahun 2008, biarpun mula menceburi bidang perguruan tetapi minatnya dalam dunia nyanyian sukar dibendung. Apatah lagi, ketika itu dia juga seorang guru muzik.

Justeru, selain sibuk dengan tugasnya sebagai guru sekolah, dia juga mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian pada awal tahun 1966. Lonjakan irama pop yeh-yeh yang sedang hangat ketika itu meluap-luapkan lagi semangatnya untuk terus terbabit dalam bidang muzik.

"Ketika itu, saya menjadi guru sepenuh masa dan menyanyi hanya sambilan sahaja. Tetapi saya rasa seperti terbabit dalam bidang muzik sepenuh masa kerana banyak mengajar mata pelajaran muzik di sekolah. Selepas itu, saya mula mendalami muzik secara lebih serius.

"Saya mula menjadi pensyarah muzik di Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang Universiti Perguruan Sultan Idris) di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1973 hingga 1979 sebelum melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Birmingham, England.

"Pulang dari luar negara, saya kemudiannya menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Ilmu Khas di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur sehingga tahun 1999 sebelum bersara dengan jawatan terakhir saya ialah Ketua Jabatan Muzik di maktab tersebut," ujarnya.

Biarpun telah bersara sebagai pensyarah muzik tetapi beliau tidak boleh melupakan bidang nyanyian yang telah menjadi darah dagingnya. Tidak hairanlah sehingga kini, dia masih terus menyanyi dan menerima undangan mengadakan persembahan pentas di merata-rata tempat.

Bagaimanapun, penyanyi itu yang kini menetap di Kajang, Selangor berkata, dia tidak menggunakan ilmu dan kepakarannya dalam bidang nyanyian bagi membantu golongan penyanyi muda meskipun setelah dia bersara sebagai pensyarah muzik.

"Saya bukannya tidak mahu mengajar penyanyi baru atau membuka kelas vokal selepas bersara. Tetapi saya sengaja tidak mahu berbuat begitu kerana ia akan 'mengikat' kerjaya saya sebagai penyanyi. Ini kerana, semua itu memerlukan komitmen yang tinggi.

"Dulu semasa mengajar, kebanyakan pelajar saya terdiri daripada bakal guru muzik di sekolah. Malah, ada di antara mereka yang kini bergelar profesor muzik di universiti tempatan. Pendekatan mengajar untuk akademik dan penyanyi komersial tidak sama," katanya.

J. Sham yang turut popular dengan lagu Di Pinggir Kali, Resam Dunia, Ku Akan Pulang, Kelohan Gemala, Gadis Negeri Sembilan dan Diam Diam menambah, dia bersyukur kerana biarpun telah bersara sebagai pensyarah muzik tetapi dia masih belum bersara sebagai penyanyi.

N. Sembilan temui pengganti

Dikirim oleh Warieh 0 Komen



Mohamad Hasan bersama pegawai serta skuad Negeri Sembilan musim 2012 pada majlis memperkenalkan pemain di Hotel Klana Resort, Seremban, semalam.


Oleh Farabi Sheikh SaidSEREMBAN - Biarpun kehilangan beberapa bintang utama, Negeri Sembilan tetap mantap dengan kehadiran dua pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Jean-Emmananuel Effa Owona dari Cameroon dan Marquen Nuquen Gocalves Ferreira dari Brazil mengikat kontrak selama setahun dengan PBNS.

Sebelum ini, Owona pernah yang bermain di bahagian serangan dalam Liga Perancis dan Qatar manakala Ferreira pula di posisi pertahanan pernah bermain dalam Liga Jepun.

"Selain pemain import itu, enam pemain tempatan yang disenaraikan ialah Mohd. Zulfaizham Kamis dan Ahmad Shakir Md Ali dari Kedah FA, Norismaidham Ismail dan Mohd Nazrin Mohd Nawi (KLFA), Rashid Mamud (Felda United FC) dan Badrul Zaman Abd Halim (PKNS FC)," katanya.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita pada majlis memperkenalkan pegawai dan pemain pasukan Liga Super Negeri Sembilan untuk musim 2012 di sini, semalam.

Beliau turut memberitahu PBNS telah membuat persiapan yang secukupnya bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap dengan kombinasi pemain yang mempunyai kebolehan masing-masing.

"Saya menaruh keyakinan bahawa kombinasi pemain lama yang dipimpin oleh ketua pasukan Shukor Adan, pemain baru ini akan dapat menyesuaikan diri mereka dengan pasukan negeri ini.

''Biarpun tahun ini kita menjuarai Piala Malaysia 2011, tetapi kita tidak meletakkan sasaran. Namun, kita hendak supaya pasukan Negeri Sembilan lebih baik daripada musim ini tanpa sebarang tekanan di bawah kendalian ketua jurulatih Mohd. Azraai Khor Abdullah bermain dengan cemerlang ," katanya.

Sementara itu, Mohd. Azraai Khor berkata, beliau optimis dengan kemampuan kombinasi pemain baru dan lama.

Ujarnya, pengalaman membariskan pemain muda ketika di Kedah akan diterapkan untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap.

"Ramai pemain muda yang diuji telah menunjukkan permainan yang memberangsangkan malah berbakat menjadi pemain yang matang," ujarnya.

Katanya, sebagai persiapan mengharung liga pasukan Negeri Sembilan akan ke Perth, Australia minggu depan untuk bermain dua perlawanan persahabatan.

Bunuh: Polis cari 'Budin'

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


SEREMBAN 15 Dis. - Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki bagi membantu menyelesaikan satu kes bunuh seorang mangsa lelaki di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ulu Branang, Lenggeng dekat sini pada 8 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, lelaki berkenaan dikenali dengan 'Budin' atau nama sebenar Zaharuddin Sabirin yang memegang kad pengenalan bernombor 571013-05-5393.

"Alamat terakhirnya adalah di Lorong Senu 1, Taman Dato Hormat, Petaling Jaya, Selangor atau Kampung Sungai Machang, Hulu Lenggeng.

"Polis meminta kerjasama orang ramai yang mengenali atau pernah melihat lelaki ini untuk tampil memberi maklumat bagi membantu polis menyelesaikan kes pembunuhan ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini.

Mengulas lanjut berhubung kes bunuh itu, Hamdan memberitahu, mangsa dikatakan dipukul di belakang kepala dalam kejadian pada 8 Disember itu.

"Selepas kejadian itu, mangsa pulang ke rumah, namun akibat hentakan itu dia mengalami kesakitan dan mengambil keputusan mendapatkan rawatan sehari kemudian di Hospital Tuanku Ja'afar di sini.

"Bagaimanapun, pada 10 Disember kira-kira pukul 12.30 tengah malam, mangsa disahkan meninggal dunia akibat mengalami pendarahan beku di kepala hasil bedah siasat yang dijalankan," ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.



Pengerusi AgroBank, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM26,200 kepada Mohamad Hasan pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tahun 2010 & Sumbangan Agrobank Negeri Sembilan di Klana Resort, kelmarin.


SEREMBAN 15 Dis. - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) mencatatkan kutipan zakat mencecah RM51 juta sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah tersebut meliputi kutipan pelbagai jenis zakat yang diterima daripada individu termasuk badan korporat untuk diagihkan kepada golongan susah di negeri ini.

''Namun jumlah keseluruhan agihan mencapai RM53 juta lebih daripada jumlah yang kita kutip tahun ini. Jumlah tersebut merupakan lebihan wang zakat bagi tahun lalu.

''Wang zakat ini kita perlu agihkan sebaik mungkin kerana ia tidak boleh disimpan dan merupakan hak golongan asnaf," katanya pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tahun 2010 & Sumbangan Agrobank Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini semalam.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, secara purata, hampir RM5.3 juta zakat diagihkan kepada penerima yang layak di seluruh negeri ini.

''Setakat ini, seramai 5,000 golongan asnaf telah menerima agihan wang zakat ini. Manakala 12,000 penerima berkala menerima bantuan zakat daripada Baitulmal," ujarnya.

Jelas Mohamad, jumlah kutipan zakat di negeri ini amat memberangsangkan kerana nilainya bertambah setiap tahun.

''Salah satu kunci kejayaan ini adalah disebabkan kita berjaya menguruskan wang zakat ini dengan baik.

Orang ramai tahu kita lakukan dengan telus, sebab itu semakin bertambah orang membayar zakat di negeri ini.

''Kejayaan untuk menguruskan wang zakat ini dengan baik juga secara tidak langsung menyaksikan MAINS menerima penarafan empat bintang daripada Ketua Audit Negara," katanya.

6 ditahan bersama pelacur

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


SEREMBAN 15 Dis. - Keghairahan enam lelaki yang melanggan pelacur di sebuah hotel di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini terbantut apabila mereka ditahan dalam serbuan polis di sini petang semalam.

Kehadiran sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri secara mengejut itu menyebabkan mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dalam serbuan pukul 3.15 petang itu, enam wanita tempatan berusia antara 30 hingga 49 tahun turut ditahan.

"Serbuan dibuat hasil maklumat dan risikan polis. Ketika diserbu, terdapat pelanggan cuba melarikan diri. Bagaimanapun, kita berjaya menahan semua lelaki berusia antara 28 hingga 48 tahun yang berada bersama pelacur berkenaan," katanya.

Kata Hamdan, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga pusat pelacuran itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk disoal siasat sebelum dikenakan tindakan susulan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 372 dan 373 Kanun Keseksaan.



Sebahagian peserta bersama kakitangan Tourism Perlis melihat proses pembuatan coklat D‘Kawi di Kuala Perlis, baru-baru ini.


SEREMBAN 15 Dis. - Tourism Malaysia negeri ini akan mengeratkan hubungan dengan Tourism Malaysia negeri Perlis bagi meningkatkan kedatangan pelancong di antara kedua-dua negeri berkenaan.

Kerjasama itu dijalankan kerana kedua-dua negeri tersebut mempunyai keunikan dan tarikan yang tersendiri.

Antara daya tarikan kedua negeri tersebut ialah kepelbagaian makanan tradisional yang unik.

Negeri Sembilan terkenal dengan masak lemak cili api. Atas faktor tersebut, Tourism Malaysia negeri ini menganjurkan program Perlis Food Trail, baru-baru ini.

Seramai 40 orang delegasi dijemput menjadi peserta yang terdiri daripada ejen-ejen pelancongan dari seluruh negara.

Delegasi dari negeri ini dan ejen pelancong sekitar Malaysia, Sabah dan Sarawak diberi kesempatan menyaksikan demonstrasi masakan lemak ikan pekasam Belimbing Buluh yang cukup popular di Perlis.

Belimbing buluh adalah sumber makanan yang sukar didapati. Bagi penggemar masakan itu sudah pasti ingin mencubanya sekali lagi setelah merasa keenakan menu tersebut.

Peserta turut berkesempatan melihat perusahaan dried mango di Kangar dan demonstrasi membuat sabun buatan tangan.

Anggota rombongan turut dibawa melawat Homestay Felda Mata Ayer yang terkenal dengan Ladang Buluh Madu.

Di homestay itu pengunjung dibawa melawat ladang dan melihat cara-cara memproses rebung madu, jeruk dan cakar ayam.

Selain itu, delegasi turut dibawa melawat ke pasar ‘nat’ pokok getah, Pauh Putra dan meninjau perusahaan Belacan Madu dan jualan ikan masin.

Destinasi terakhir, peserta dibawa menikmati Laksa Kuala Perlis dan pulut udang.

Kuala Perlis turut memiliki keunikan yang tersendiri iaitu pembuatan coklat di kilang DKawi.

Menariknya, pengunjung boleh menikmati coklat bersalut strawberi yang turut digemari penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza yang dijadikan tarikan utama di pintu utama kilang.

Secara keseluruhannya, program itu mendedahkan kepada orang ramai dalam peningkatan ekonomi sesebuah negeri dan mempromosikan produk ekopelancongan.



AMIR Mohamed (kiri) dituduh melakukan pecah amanah berbual dengan Mohd. Fairuz Johari di Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.


RASAH 15 Dis. - Presiden Perpaduan Insan Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini hari ini, atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang RM17,000 tahun lalu.

Amir Mohamed, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan-pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Dia didakwa memindahkan empat cek Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB) milik akaun Majlis Mesra Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah antara RM2,000 hingga RM8,000 ke dalam akaun BIMB milik Pusat Penyayang Warga Emas antara 16 Julai dan 5 Ogos 2010 di Pejabat Majlis Mesra JPJ, No. 239 Jalan 8, Taman Emas Senawang dekat sini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Ahmad Kamar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 Januari depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd. Fairuz Johari manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


SEREMBAN 15 Dis. - Hasrat seorang remaja perempuan untuk mencari pekerjaan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia dipaksa melacur oleh sepasang suami isteri dan teman lelakinya di beberapa hotel bajet sekitar negeri ini.

Mangsa berusia 19 tahun itu bagaimanapun bertindak nekad melarikan diri dan berjaya diselamatkan oleh pihak polis di Bahau, Jempol dekat sini pada 27 November lalu.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan dan berjaya menahan ketiga-tiga dalang itu pada hari yang sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 24 hingga 28 tahun.

"Mangsa diperdaya oleh sepasang suami isteri serta teman lelakinya yang menjanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah.

"Namun, dia sebaliknya ditipu dan dipaksa untuk menjadi pelacur di beberapa hotel di Bahau dan di Seremban sebelum berjaya melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Hamdan berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sebelum dibawa ke mahkamah untuk didakwa, katanya.



Nota yang ditinggalkan selepas Masjid Jamek Mantin disimbah cat di Seremban, semalam.


SEREMBAN 15 Dis. - Para jemaah di Masjid Kariah Mantin dekat sini terkejut apabila pagar dan tembok masjid berkenaan disimbah dengan cat merah, awal pagi ini.

Perbuatan khianat itu disedari oleh dua anggota peronda polis yang singgah ke masjid itu untuk menunaikan solat Subuh kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, berdasarkan laporan yang diterima, pagar serta tembok bahagian luar dan dalam masjid berkenaan disimbah dengan cat berwarna merah.

"Hasil siasatan awal, kita mendapati perbuatan itu tiada melibatkan sebarang elemen perkauman atau persengketaan membabitkan agama.

"Justeru, polis berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana pihak kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dalang yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Hamdan, pihaknya turut menemui sekeping nota di sekitar masjid itu yang mampu digunakan sebagai petunjuk bagi menyelesaikan kes tersebut.

"Kita percaya perbuatan itu berpunca daripada konflik yang berlaku antara individu di dalam masjid berkenaan," katanya.


SEREMBAN 14 Dis. - Seramai 450 orang kurang upaya (OKU) dari seluruh negeri ini menerima sumbangan dan anugerah sempena Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya peringkat negeri di sini semalam.

Turut menerima sumbangan ialah 450 wakil pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) negeri ini.

Sumbangan dibuat oleh Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti).

Anugerah itu disampaikan oleh Yang Dipertua Pekerti, Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Datuk Zainab Nasir.

Salbiah dalam ucapannya pada majlis itu berkata, program itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa OKU merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat dan mempunyai hak yang sama dalam pembangunan masyarakat.

"Kita mahu mempertingkatkan kebolehan dan kemampuan golongan OKU ke arah pencapaian yang cemerlang," katanya sambil menambah, program itu mendapat sokongan kerajaan negeri.

Beliau berharap lebih banyak pihak akan tampil menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Sementara itu , Tokoh OKU Lelaki telah dinobatkan kepada P. Gunasegaran, 48, yang juga Pengurus Pasukan dan Jurulatih Badminton Paralimpik serta Pengerusi MIC Cawangan Felda Bukit Rokan.

"Saya berasa begitu gembira kerana terpilih sebagai salah seorang tokoh di peringkat OKU. Bagi saya, kecacatan tidak menjadi penghalang untuk seseorang itu berjaya.

"Harapan saya kepada OKU di luar sana agar terus bergiat aktif dalam apa jua kegiatan masyarakat," ujarnya.

Beliau juga seorang individu yang pernah dinobatkan johan dalam acara badminton paralimpik dengan menjulang pingat emas pada tahun 2006 dan memperoleh Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 2008.

Tokoh OKU Wanita pula dinobatkan kepada seorang guru, Raja Azleen Raja Anuar, 25.

"Saya merakamkan setinggi penghargaan kerana terpilih sebagai seorang yang mencapai kejayaan dalam bidang yang saya lakukan," jelasnya.

Beliau yang merupakan seorang individu yang cacat pendengaran memperoleh Ijazah Perguruan dari Institut Pendidikan Guru Ilmu Khas, Cheras.


SEREMBAN 14 Dis. - Sebanyak 90 peratus aduan orang ramai melibatkan masalah setempat berjaya diselesaikan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dari tempoh Januari hingga 1 Disember tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Halim Abd. Latif menjelaskan, kesemua aduan tersebut melibatkan kepentingan orang ramai seperti masalah longkang, jalan dan sebagainya.

“Selebihnya, kita masih memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan kerana ia melibatkan pengurusan dokumen bagi projek melibatkan tender dan sebutan harga.

“Kita percaya bahawa masalah tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama para pengamal media di sebuah hotel di sini malam kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Siow Chen Pin.

Justeru kata Abd. Halim, MPS dan MPN yakin dapat menyelesaikan setiap aduan mahupun masalah penduduk dalam tempoh tiga hari.

Malah kata beliau, sebarang status masalah akan dimaklumkan dalam tempoh tiga hari dan tindakan juga akan dibuat dalam tempoh tujuh hari bagi setiap aduan.

“Kita yakin aduan seperti masalah sampah dan longkang dapat diselesaikan secepat mungkin, namun bagi aduan yang melibatkan projek besar seperti perumahan tertangguh, kilang-kilang yang membawa masalah dan sebagainya memerlukan tempoh masa untuk diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu Abd. Halim berkata, kerjasama antara media dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting memandangkan kedua-dua badan itu saling memerlukan.

“Apa yang dapat kita lihat media amat membantu pihak MPS dan MPN terutama dalam mengutarakan masalah rakyat. Begitu juga pandangan dan cadangan yang diberikan amat membantu PBT menyelesaikan masalah.

“Saya berharap hubungan baik antara media dan PBT dapat diteruskan bagi menangani isu masyarakat,” katanya.


SEREMBAN 14 Dis. - Seramai 14 wanita warga warga China yang menyalahgunakan pas lawatan ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman AST di sini malam tadi.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri pada pukul 9.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, ketika serbuan, kesemua mereka berusia antara 19 hingga 57 tahun cuba meloloskan diri melalui lubang tikus.

"Mereka cuba melarikan diri menerusi lubang tikus yang disediakan oleh pengusaha premis bagi mengelak daripada ditahan bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditahan.

"Setelah diperiksa, kita dapati 11 daripada wanita itu menggunakan pas lawatan pelajar di Kuala Lumpur, dua dari mereka menggunakan pas lawatan bekerja di Selangor dan Johor dan seorang lagi mempunyai permit perkahwinan," katanya di sini hari ini.

Kata beliau, dalam serbuan yang dilakukan itu, pihak polis juga menahan 10 pelanggan berusia antara 20 hingga 50-an untuk soal siasat.

Tambahnya, seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai penjaga premis itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Jelajah promosi derma organ

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


SEREMBAN 13 Dis. - Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan mengadakan Jelajah Promosi Pendermaan Siri 4/2011 yang akan diadakan di Dewan Kuliah Pusat 3, USIM dekat sini pada Khamis ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Promosi Kesihatan, Yussani Hashim berkata, program berkenaan bertujuan mencari lebih ramai pengikrar untuk mendermakan organ bagi mereka yang memerlukan.

Jelas beliau, pihaknya mensasarkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada penuntut USIM dan beberapa kolej berdekatan di sekitar kawasan Nilai.

''Ini merupakan salah satu usaha berterusan yang dijalankan oleh kementerian dalam usaha menambah jumlah penderma organ terutamanya di kalangan penuntut universiti tempatan," katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Yussani memberitahu, beberapa program sampingan akan diadakan pada majlis berkenaan yang diaturkan oleh pihak universiti dan juga Jabatan Kesihatan negeri

Jelas beliau program berkenaan akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Penderma Organ, Tan Sri Lee Lam Thye selain dihadiri Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda dan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Zailan Adnan.

Jati diri perlu diterapkan

Dikirim oleh Warieh 0 Komen



Mohamad Hasan menyampaikan hadiah kepada peserta silat gayung selepas di Kuala Lumpur, semalam.


SEREMBAN 13 Dis. - Nilai jati diri dan berpandangan jauh antara kunci perkara yang perlu diterapkan oleh golongan mahasiswa sekiranya mereka mahu berjaya selain dapat menyumbang ke arah kemajuan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mahasiswa perlu sedar bahawa mereka kini sedang berdepan dengan saingan yang begitu mencabar dalam era globalisasi dan memerlukan kedua-dua elemen berkenaan agar mereka tidak terus tenggelam dalam arus pemodenan.

Justeru kata beliau, adalah perlu bagi mereka untuk membebaskan pemikiran daripada belenggu unsur-unsur jumud, sebaliknya perlu membina keyakinan diri di kalangan pelajar bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa akan datang.

''Dunia ini luas dan besar jadi kita perlu berpandangan jauh dan membuka minda kita supaya apa yang penting kita tidak menjadi seorang yang jumud dan pemandangannya terlalu terhad menampakkan apa saja yang di depan," katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kejohanan Pencak Silat Universiti Malaya (UM) Pendekar Seabad 7 di Auditorium Kompleks Perdanasiswa, UM Kuala Lumpur malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Datuk Rohana Yusof.

Pada masa sama, beliau mengingatkan mahasiswa supaya jangan sesekali lupa tentang asal-usul sekiranya sudah berjaya, dengan tidak mahu mengaku berasal dari kampung ataupun kawasan pedalaman.

Malah beliau menegaskan tiada sebab untuk mahasiswa malu untuk mengaku asal-usul kerana ia bukan penghalang bagi mereka mencapai kejayaan.

''Buat apa kita nak malu jika kita berasal dari kampung sekalipun ia berada jauh di pedalaman ataupun tiada sebarang kemudahan berteknologi tinggi. Jangan sesekali memberi alasan asal-usul kita sebagai penghalang untuk berjaya," katanya.


SEREMBAN 13 Dis. - Tidak ada tekanan atau paksaan kepada mana-mana ahli dewan undangan negeri (ADUN) dan ahli Parlimen untuk mengundur diri bagi memberi laluan kepada calon lain bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, langkah itu adalah proses biasa dalam parti selain memberikan laluan dan ruang buat pemimpin lain memenuhi tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Kita perlu tahu bahawa langkah yang dibuat ini bukanlah kerana mereka ini tidak baik untuk memimpin," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Transformasi Belia Negeri Sembilan anjuran Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas hasrat beberapa ADUN dan ahli Parlimen dari parti komponen Barisan Nasional (BN) di beberapa buah negeri untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ahmad menjelaskan, ADUN Bukit Naning, Datuk Abdullah Md. Ali yang mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 adalah contoh terbaik pemimpin yang rajin

Awang Hitam nekad terjun elak dicekup

Dikirim oleh Warieh Selasa, 13 Disember 2011 0 Komen


Oleh : NUR SHARIEZA ISMAIL
Tarikh : December 12, 2011
ditangkap

SEREMBAN - Seorang lelaki warga Afrika nekad terjun dari tingkat dua sebuah pangsapuri berhampiran sebuah kolej swasta dekat sini sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa yang melancarkan Ops Ajar, malam kelmarin.

Tindakan itu mengakibatkan kaki kanan lelaki berkenaan patah dan dia seterusnya ditahan anggota penguat kuasa yang curiga dengan kelakuannya.

Pengarah Jabatan Imi­gresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, suspek yang dipercayai penuntut kolej swasta merupakan antara 17 warga asing termasuk tiga wanita ditahan dalam operasi bermula jam 8 malam hingga 1 pagi itu.

“Penahanan lelaki terbabit juga membawa kepada penemuan beberapa barang yang disyaki digunakan bagi kegiatan penipuan di dalam unit pangsapuri yang didiami bersama tiga lelaki lain,” katanya.

Menurut beliau, pada mulanya, pintu unit pangsapuri berkenaan gagal dibuka menyebabkan anggota penguat kuasa mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum berjaya memasukinya.

Kata Faizal, tiga lelaki warga Afrika dipercayai rakan serumah suspek yang berada dalam premis berkenaan cuba menyembunyikan diri daripada dikesan pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan menemui sebuah komputer riba yang disorok atas siling tandas dan sebuah lagi komputer riba disembunyikan dalam kusyen.

“Siasatan lanjut mendapati komputer riba yang ditemui atas siling tandas itu mengandungi beberapa bukti berkaitan unsur-unsur penipuan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini, malam kelmarin.

Faizal berkata, barang-barang lain yang turut ditemui dalam rumah berkenaan adalah dokumen digital, salinan MyKad dan gambar yang dipercayai dipalsukan, pasport serta borang-borang pemindahan wang dikeluarkan pelbagai agensi antarabangsa.

“Turut ditemui adalah sembilan telefon bimbit, sejumlah wang tunai, tujuh kad prabayar, 15 kad SIM telefon bimbit dan kondom,” katanya.

Menurutnya, tiga warga asing berumur antara 20-an hingga 30-an itu ditahan dan diserahkan kepada polis kerana disyaki terlibat dalam unsur penipuan.

Manakala, katanya, baki 14 warga asing itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama kerana tinggal di negara ini melebihi masa dibenarkan.

“Secara keseluruhan, seramai 215 lelaki dan 85 wanita warga Afrika diperiksa dalam operasi disertai 50 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen negeri, 45 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta 15 pegawai dan anggota polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan mengenai penahanan tiga suspek terbabit untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan
perbankan melalui Internet.


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 13, 2011

KUALA KLAWANG - Sikap segelintir remaja wanita yang hamil luar nikah tidak mahu melibatkan teman lelaki ketika ditahan dan didakwa menyukarkan pihak berkuasa mengenal pasti bapa kepada bayi dilahirkan.

Akibatnya hanya si ibu yang akan berhadapan dengan hukuman setelah dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Ketua Unit Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Jelebu, Nur Hairin Khamis berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya menerima tiga aduan kes hamil luar nikah.

“Dua daripadanya sudah diambil tindakan, manakala satu kes lagi masih di dalam proses siasatan dan tindakan.

“Kita akan menahan wanita tersebut dan membawanya mendapatkan pemeriksaan kesihatan sebelum dituduh di mahkamah,” katanya.

Nur Hairin berkata, ketika di mahkamah, tertuduh perlu mengemukakan akuan sumpah dan ia juga memerlukan empat saksi, namun ia jarang berlaku.

“Tertuduh wanita boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 75 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Hamil Luar Nikah).

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, lelaki yang bertanggungjawab terhadap wanita terbabit juga boleh didakwa di bawah Seksyen 60 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Persetubuhan Ha­ram).

“Jika sabit kesalahan, tertuduh lelaki boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, amat sukar untuk mensabitkan lelaki bertanggungjawab dalam kes seumpama itu kerana ia perlu dibuktikan menerusi ujian DNA ke atas bayi yang dilahirkan.

“Pejabat agama tidak ada surat khas untuk mengarahkan lelaki berkenaan menjalani ujian DNA.

“Lazimnya keluarga wanita dan lelaki terbabit yang mahukan ujian itu dijalankan bagi menentukan siapa bapa bayi berkenaan,” katanya.


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 13, 2011
Nyaris ditimpa pokok kayu ara

KUALA PILAH – Seorang pekerja SWM Enviroment Sdn Bhd (SWM) mengalami detik-detik cemas apabila nyaris ditimpa sebatang pokok dipercayai jenis kayu ara yang tumbang ketika melakukan kerja menyapu kira-kira jam 8.15 pagi di Jalan Bukit dekat sini, semalam.

Mangsa, Norsita Mohd Ibrahim, 39, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyapu di bawah pokok besar itu yang berusia lebih 30 tahun.

Menurutnya, tiba-tiba terdengar bunyi seolah-olah ranting patah dan kemudian melihat ke arah pokok itu sebelum ia semakin senget.

“Saya terus berlari ke tempat yang lebih selamat selepas terdengar jeritan pengawal keselamatan perpustakaan ber­hampiran menyuruh saya ‘lari’,” katanya kepada Sinar Harian.

Norsita berkata, dalam keadaan badan menggigil, dia berlari keluar untuk menyelamatkan diri kerana bimbang dihempap pokok ataupun dahan besar.

“Kejadian ini adalah pe­ngalaman yang tidak dapat dilupakan. Setiap hari, saya akan menyapu kawasan ini bermula dari taman permainan kanak-kanak hingga jalan simpang ke Dewan Datuk Bahaman Shamsudin.

“Memang malam tadi, hujan lebat dan mungkin sebab itu pokok tersebut tumbang. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana sempat melarikan diri,” katanya yang sudah berkerja bersama SWM selama setahun.

Norsita berkata, mujur ketika kejadian tiada kenderaan mela­lui jalan tersebut.

“Kebiasaannya, jalan ini sibuk ketika waktu pagi kerana masing-masing hendak menuju ke bandar Kuala Pilah.

“Namun, ketika itu, hanya saya seorang sahaja yang sibuk membersihkan daun-daun kering di atas Jalan Bukit ini berhampiran taman permainan kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Norsita berkata, sepanjang jalan tersebut, terdapat pokok yang tinggi berkemungkinan boleh berlaku kejadian seperti hari ini (semalam).

“Saya sudah menyapu di kawasan ini sejak setahun lalu. Perasaan takut dan bimbang tetap ada ketika melalui bawah pokok yang tinggi hampir 23 meter.

“Bila hujan dan angin ribut, bimbang pokok itu tumbang secara tiba-tiba seperti kali ini. Mungkin hari ini, tiada kemalangan jiwa berlaku, pada hari seterusnya, kita tidak tahu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, diharap pihak berkenaan dapat mencantas dahan pokok berkenaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini pada masa akan datang.


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 13, 2011

TERACHI – Tauke kolam pancing ikan mengalami kerugian kerana belum sempat membuka kolam pancingnya untuk penggemar kaki pancing apabila sebuah kereta terjunam ke kolam tersebut dekat sini, semalam.

Tauke, Mohd Sharil Mohamad, 28 berkata, kerana kemalangan itu, dia terpaksa menutup kolam pancing yang sepatutnya dibuka jam 3 petang, semalam hingga 1 pagi.

Menurutnya, dia dapat tahu mengenai kemalangan itu daripada seorang rakan.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan ke kolam. Apabila dapat tahu, berlaku kemalangan, saya bergegas ke tempat tersebut.

“Saya lihat sebuah kereta jenis Honda berada di dalam kolam ikan saya. Saya terpaksa tutup pada hari ini dan menanggung kerugian hampir RM1,000,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sharil berkata, rata-rata kaki pancing melahirkan rasa kecewa berikutan kolam berkenaan ditutup pada hari ini (semalam).

“Ramai kenalan kaki pancing tidak mengetahui kemalangan ini. Ada yang datang dari jauh, terpaksa berpatah balik kerana tidak dapat memancing.

“Hari ini, kira-kira 20 pelanggan datang untuk memancing di sini. Walau bagaimanapun, esok saya tetap akan buka kolam pancing ini seperti biasa,” katanya baru sahaja mengambil alih kolam itu selama lima bulan.
Katanya, dia akan menuntut kerugian berikutan terdapat ke­rosakan­ akibat kemalangan tersebut.

“Saya akan menuntut ganti rugi kerana banyak kerosakan berlaku seperti tiang lampu akibat rempuhan kuat kereta tersebut.

“Tambahan pula, terdapat berpuluh-puluh ekor ikan di dalam kolam ini seperti, ikan patin, ikan tongsan dan lain-lain yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran,” katanya.


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 13, 2011
Superintendan-Wooi-Kooi-Cheang

TAMPIN – Seorang gadis dari Gadek, Alor Gajah yang baru berusia 14 tahun kini terpaksa menanggung aib apabila mengandung selepas dirogol kenalan baru di sebuah kediaman di Taman Sentosa Gemas, Julai lalu.

Sumber berkata, usia perkenalan gadis malang ber­kenaan­ dengan suspek hanyalah sekitar satu bulan sahaja dan pada hari kejadian, gadis malang itu dibawa keluar makan menaiki van suspek.

Menurutnya, selepas makan, suspek berusia 20 tahun itu membawa gadis berkenaan ke kediamannya yang ketika itu tidak terdapat individu lain dan bertindak nekad merogol gadis berkenaan.

“Pada 6 Disember lalu, gadis itu tampil bersama ibu dan bapanya di Balai Polis Gemas untuk membuat laporan polis dan usia kandungannya kini adalah sekitar empat bulan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, gadis berkenaan yang sudah tidak lagi bersekolah itu mendakwa pada hari kejadian, dia telah dirogol sebanyak empat kali oleh suspek sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superin_tendan Wooi Hooi Cheang ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai insiden berke­naan.

Menurutnya, pihak polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum selama 30 tahun dan dikenakan sebatan.

Sehubungan itu, Hooi Cheang menggesa mangsa kes rogol supaya dapat tampil membuat laporan polis secepat mungkin.

Menurutnya, laporan itu penting bagi mengelakkan mereka daripada terus-menerus menjadi mang­sa.

Pas yakin tawan Serting

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Oleh : SH MNS/ NORAFIDAH ASSAN
Tarikh : December 12, 2011

JEMPOL- Pas Jempol yakin dapat menawan Dun Serting berikutan peneroka Felda hari ini sudah mula sedar bahawa parti itu mampu membawa perubahan besar kepada mereka.

Yang Dipertua Pas Jempol, Abd Rahman Ramli berkata, tidak mustahil Pas akan mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang.

“Ada banyak isu berbangkit membabitkan peneroka, antaranya isu kadar perahan minyak sawit, penebangan pokok getah dan juga saman peneroka terhadap Felda.

“Peneroka sekarang tidak boleh digula-gulakan lagi. Mereka sudah bijak berfikir, malah tambah meyakinkan apabila kita menang saman.

“Kita memang sasar semua kawasan termasuklah Parlimen Jempol. Kita juga sudah ada calon yang disenarai pendekkan cuma belum diumumkan secara rasmi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Pas meletakkan calon dalam kala­ngan muka baru, muda dan juga orang lama.

“Bukan menjadi masalah untuk menang apabila kerajaan BN memberikan bantuan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah kepada rakyat secara 'one off' berjumlah RM500.

“Namun, kita juga telah mengatur beberapa strategi untuk menghadapi pilihan raya umum kali ini dan kita juga yakin dapat pecahkan beberapa kubu Umno yang lain,” katanya.

Bekas pengarah JPJ didakwa

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Oleh : NUR SHARIEZA ISMAIL
Tarikh : December 13, 2011
bekas pengarah jpj

SEREMBAN - Bekas Peng­a­rah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Mohd Kamal Saad, 57, me­ngaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Serem­ban, di sini, semalam, atas tuduhan menerima tiket penerbangan dan penginapan da­ripada sebuah syarikat memandu untuk menghadiri satu mesyuarat di Sabah, tahun lalu.

Mohd Kamal membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Kamal didakwa menerima tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Kota Kinabalu berharga RM298 dan penginapan selama satu hari di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah bernilai RM390 bagi menghadiri Mesyuarat Jabatan Pengang­kutan Jalan Bersama Institut Memandu Negeri Sembilan pada 24 Julai hingga 26 Julai 2010.

Mohd Kamal menerimanya daripada pemilik Institut Pemandu Empat Sempurna (M) Sdn Bhd, Lukut Port Dickson, Sharifah Norliza, 45.

Tertuduh yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia di Putrajaya didakwa menerima tiket dan tempahan hotel itu tanpa balasan di pejabat JPJ negeri pada 24 Julai tahun lalu walaupun mengetahui wanita itu ada kena mengena dalam urusan yang dijalankan oleh beliau ketika itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Fairuz Johari memohon mahkamah membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Mohd Kamal yang diwakili peguam, Ramzani Idris dan Mu­hammad Faiz Fadzil memohon ikat jamin dikurangkan dengan alasan akan bersara dalam tempoh enam bulan lagi, selain perlu menyara keluarganya.

Nursinah membenarkan Mohd Kamal dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Nursinah turut menetapkan 2 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula.

KUALA PILAH 12 Dis. - Seorang wanita mati lemas setelah kereta dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam kolam memancing di Kilometer 24, Jalan Seremban-Kuala Pilah berdekatan Kampung Gedang di sini hari ini.

Suzimah Shuhaimi, 28, meninggal dunia selepas terperangkap dalam kereta jenis Honda Integra yang terbabas dan terbalik dalam kolam pancing berkenaan kira-kira pukul 2.15 petang.

Seorang saksi kejadian, Abd. Samad Malik, 42, berkata, sebelum kejadian, dia berada di tepi jalan dan ternampak kereta dipandu mangsa datang dari arah Kuala Pilah cuba memotong sebuah treler membawa muatan batu.

Dia yang menetap di kampung itu berkata, ketika kereta itu memotong, tiba-tiba muncul sebuah bas dari arah bertentangan menyebabkan pemandu kereta tersebut cuba masuk semula ke laluan asal namun gagal.

"Kereta itu kemudian bergesel dengan bahagian hadapan treler menyebabkan ia terbabas, terbalik beberapa kali dan terjunam ke dalam kolam yang terletak kira-kira 10 meter dari tepi jalan.

"Saya dan beberapa penduduk cuba membantu mengeluarkan mangsa tetapi gagal kerana keadaan kereta yang terbalik dan tenggelam di dalam kolam," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian, kolam memancing berkenaan belum dibuka untuk operasi.

Dia berkata, penduduk kampung kemudian menggunakan sebuah lori untuk menarik kereta itu keluar dari kolam tetapi gagal kerana keadaan tanah di tepi kolam itu licin dan berlumpur.

"Selepas gagal untuk membantu, kami terpaksa menunggu pihak Bomba dan Penyelamat yang tiba beberapa minit selepas kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Jaafar Baba yang mengesahkan kemalangan itu memberitahu, punca sebenar kemalangan masih disiasat.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook