RASAH 30 Mei - Kerajaan negeri mahu melihat semua sekolah agama di negeri ini menjadi tunjang kepada pembentukan sahsiah diri, selain perkasa dalam aspek pendidikan akademik dan kokurikulum.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, sekolah agama hari ini tidak boleh lagi mundur dalam aspek pendidikannya, sebaliknya berperanan penting dalam membentuk keperibadian ummah.
''Kerajaan mahu melihat sekolah agama menjadi sumber melahirkan intelektual Islam yang kaya dengan pelbagai bidang ilmu," katanya ketika berucap selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Institusi Pendidikan Agama, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi di sini baru-baru ini.
Tambahnya, kematangan dalam pendidikan Islam juga hendaklah dipertingkatkan dan perubahan perlu dibuat supaya pelajar yang menerima ilmu itu tidak hanya dikisahkan soal pembelajaran semata-mata, tetapi aspek moral dan akhlak.
''Sebab itulah kerajaan negeri sentiasa peka dengan keperluan sekolah agama kerana ia dilihat mampu membanteras masalah sosial yang kini terus berlaku terutama di kalangan remaja," katanya.
Justeru katanya, Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak RM8.5 juta kepada semua jenis sekolah agama di negeri ini bagi memastikan segala kemudahan dapat disediakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Ujar beliau, peruntukan itu juga bertujuan menambah baik segala kemudahan asas termasuklah penyelengaraan serta kemudahan infrastruktur.
"Ini merupakan usaha kerajaan dalam memastikan semua sekolah agama mendapat kemudahan yang disediakan bagi memantap dan memperkasakan institusi pendidikan agama di negeri ini.
"Malah kita lihat pencapaian pendidikan oleh sekolah agama, sama tarafnya dengan sekolah-sekolah lain di negeri ini," katanya
