Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Program Kedap ubah kehidupan Orang Asli

Dikirim oleh Warieh Selasa, 21 Disember 2010 1 Komen

JEMPOL 20 Dis. - Ilmu tidak pernah mengenal usia, malahan ilmu jugalah yang dapat menjadikan seseorang insan itu berjaya dalam hidup.

Berdasarkan hakikat dan rasa keinginan yang tinggi untuk menjadi insan berilmu mendorong seramai 25 individu dari kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli Sungai Sampu, dekat sini kembali 'ke sekolah' untuk belajar semula.

Apa yang lebih membanggakan selepas enam bulan mereka menjadi 'pelajar' di sekolah berkenaan, akhirnya baru-baru ini mereka menghadiri hari 'konvokesyen' dan menerima sijil penyertaan dan kecemerlangan.

Menurut guru Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Sungai Sampu, Nordin Chak, program itu merupakan tahun ketiga diadakan selepas mendapat sambutan baik di kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli.

"Kita namakan ia sebagai Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli Pribumi (Kedap).

"Program ini diadakan sebanyak empat kali dalam seminggu dan nyata ia telah mendapat sambutan baik dan sungguh luar biasa," katanya.

Menurutnya, mereka diajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan matematik, serta melalui peperiksaan sebagaimana yang dialami oleh anak-anak mereka.

"Selain mendapatkan ilmu, kesemua ibu bapa yang menyertai Kedap diberikan elaun RM15, setiap hari," katanya.

Tambah Nordin, apa yang lebih penting dalam program itu adalah memberikan sebanyak mungkin ilmu pendidikan kepada ibu bapa, supaya apabila mereka balik kelak, ia dapat diteruskan dengan mendidik anak masing-masing perihal pentingnya sesuatu ilmu itu.

"Program ini bukan sahaja memberikan impak kepada anak dan ibu bapa terbabit, malahan telah menjadikan sesebuah keluarga Orang Asli dihuni dan dipasakkan dengan ilmu pendidikan.

"Ada juga anak Orang Asli ini yang berjaya dan mereka kembali ke desa untuk membantu keluarga masing-masing," katanya.

SEREMBAN 20 Dis. - Taktik seorang pengusaha kafe siber menggunakan laluan pintu belakang untuk menjalankan kegiatan perjudian Internet nyata gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila premis itu di Taman Pasir Mas, Rantau diserbu polis dalam satu operasi di sini malam tadi.

Dalam operasi kira-kira pukul 9.30 malam, penjaga premis berkenaan tidak menyedari kehadiran sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri walaupun premis berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Operasi D7 negeri, Cif Inspektor Raidah Abiddin berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam.

"Hasil risikan awal, kami mendapati pengusaha terbabit membuka laluan di pintu belakang kepada pelanggan yang ingin bermain judi Internet di premis berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati, pengusaha terbabit memasang CCTV di luar premis berkenaan bagi memudahkan mereka memantau kehadiran pihak berkuasa," katanya di sini hari ini.

Menurutnya lagi, dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai ditugaskan bagi mengendalikan premis tersebut turut ditahan.

"Selain itu, kita bertindak menyita 30 set komputer 4 unit modem dan wang tunai sebanyak RM788," katanya.

Tambah Raidah, ketika serbuan, seramai 25 pelanggan sedang leka bermain judi di dalam premis terbabit.

"Bagaimanapun, kesemua pelanggan yang berusia 25 hingga 40 tahun ini tidak ditahan, namun polis telah mengambil keterangan dan butiran diri mereka.

"Penjaga premis berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk disoal siasat di bawah Seksyen 4 B (a) Akta Rumah Judi Terbuka," jelasnya.

SEREMBAN 20 Dis. - Seorang juruteknik kilang maut apabila kereta yang dinaikinya terbabas sebelum merempuh penghadang lebuh raya di Kilometer 24.8, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Mohd. Azrai Mohd. Azni , 21, mati di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala selepas kereta jenis Proton Satria Neo yang dipandu rakannya terbabas di lokasi kejadian.

Difahamkan, Mohd. Azrai bersama pemandu termasuk dua penumpang lagi menaiki kenderaan itu untuk pulang ke rumahnya di Batu 13, Hulu Langat, Selangor selepas selesai menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Felda Bukit Rokan, Gemas dekat sini.

Jurucakap polis berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kemalangan itu.

"Hasil siasatan awal, kemalangan berlaku selepas kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang lebuh raya.

"Akibat rempuhan itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang depan mati di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala," katanya di sini hari ini.

Menurut jurucakap polis, dalam kejadian itu, pemandu serta dua lagi penumpang yang duduk di belakang turut cedera.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini untuk bedah siasat manakala tiga yang lain turut menerima rawatan di hospital yang sama," jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.

Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Mohd. Taufiq Abd. Samad di talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran.

SEREMBAN 20 Dis. - "Abang boleh lihat dalam satu hari ini macam-macam perangai orang ramai apabila datang ke tempat cuci kereta ini."

Begitulah cerita pemilik Pusat Mencuci Kereta Black Crystal, Mohd. Nor Haniff, 29, mengenai sikap orang ramai yang datang untuk mencuci kereta di tempatnya.

Katanya, sejak memulakan perniagaan dua bulan lalu, dia bersama isterinya sudah biasa melayani seribu satu macam kehendak pelanggan yang mahu kenderaan mereka kelihatan bersih dan kemas.

Jelasnya, walaupun sebagai pencuci kereta, dia mahu setiap kereta yang mengunjungi premisnya mendapat layanan serta perkhidmatan yang terbaik.

"Bagi saya ia penting, kerana dari situ nanti timbul rasa puas di kalangan pemilik kereta itu. Pada masa yang sama mereka juga boleh bercerita mengenai perkhidmatan yang kami berikan.

"Setakat ini, saya bersyukur kerana kami mempunyai pelanggan sendiri yang datang ke tempat ini," katanya ketika di temui di sini, baru-baru ini.

Ditanya mengenai pengalamannya menjalankan perniagaan itu, Mohd. Nor memberitahu, ada ketikanya premisnya tidak dikunjungi oleh pelanggan sepanjang hari.

Tidak terkecuali, katanya, dia pernah dimarahi oleh pelanggan kerana kononnya kereta yang dicuci menjadi kusam dan tidak berkilat selepas disembur dengan bahan pencuci kimia.

"Ada pula pelanggan yang tertinggal barangan mereka seperti kasut dan sebagainya," katanya.

Isterinya, Nurul Norizati Abdul Kadir, 26, berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ragam seorang pelanggan yang dilihat paling menggelikan hatinya.

"Ada seorang pelanggan yang bersama-sama suami saya membasuh keretanya. Saya tidak tahu apa sebabnya tetapi mungkin dia sayangkan kereta sehingga sanggup berbuat demikian.

"Malah dia juga memberi bayaran lebih kepada kami selepas mencuci keretanya," katanya.

Nurul Norizati berkata, premisnya akan menjadi sibuk terutamnya pada hujung minggu selain cuti kelepasan am dan mula beroperasi dari 10.30 pagi hingga 9.30 malam.

Survival pencuci kereta

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


PENULIS (kiri) berpeluang merasai pengalaman menjadi pencuci kereta di Pusat Mencuci Kereta Black Crystal di Jalan Tuanku Antah, Seremban, baru-baru ini. - utusan/Abd Razak Aid


SEREMBAN 20 Dis. - Anda menghantar kereta untuk dicuci dan apabila balik, anda mendapati kereta yang dicuci itu tidak bersih, masih berhabuk dan terdapat kotoran di sana sini.

Apa perasaan anda dan pastinya, anda tidak akan menghantar kereta itu untuk dicuci di lokasi yang sama.

Bagaimana pula kisahnya si pencuci kereta, ketika peluh membasahi badan, tiba-tiba pemilik kenderaan itu melenting dan marah kerana kereta yang dicuci masih kotor, ruang dalam berhabuk dan cermin tidak dibersihkan.

Kesemua ini adalah ragam dan kisah nyata si pencuci kereta yang penulis alami bersama dengan mengambil tugas mencuci kereta bermula pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari bagi mendekati survival golongan ini untuk mendapatkan rezeki dan menanggung kehidupan keluarga.

Benarlah bukan mudah untuk mendapatkan RM10 hasil keringat yang dikeluarkan, apatah lagi mencuci kenderaan di Pusat Mencuci Kereta Black Crystal di Jalan Tuanku Antah di sini baru-baru ini.

Hari makin meninggi, sedangkan sebuah kereta pun belum muncul di pusat mencuci kereta berkenaan.

Nyata tempoh bekerja yang ditentukan itu bagaikan perlahan apabila saya bersama 'majikan baru' saya menunggu kenderaan yang singgah untuk diberikan perkhidmatan.

Barulah penulis sedar bagaimana perasaan 'majikan baru' itu untuk mencari rezeki berbanding dirinya yang bekerja dalam bilik berhawa dingin.

Suasana kemudian berubah apabila tiga buah kereta mula memasuki kawasan mencuci kenderaan di situ.

Tanpa membuang masa, penulis bersama 'majikan' terus mengarahkan kereta berkenaan berada pada lot parkir. Penulis kemudian mengambil baldi, sabun dan berus untuk memulakan tugas.

Semua kotoran di badan kereta dibasuh, supaya pemiliknya tidak melenting. Air pancuran yang deras disembur dan penulis terus mengelap keseluruhan kotoran di kereta berkenaan.

Biarpun peluh mula mencurah, semangat bekerja sebagai pencuci kereta tidak pernah luntur, maklumlah ini adalah 'rezeki pertama' penulis.

Seram juga apabila pemilik kereta mula memerhatikan penulis mengelap keretanya dan sesekali merenung tajam seolah-olah ada yang tidak kena.

"Apalah silapnya, sampai pemilik kereta itu langsung tidak mahu senyum," kata penulis.

Bagi penulis, ini adalah realiti pencuci kereta dan selepas menerima arahan 'majikan', saya terus diberikan tugas baru untuk mengelap kenderaan yang masih basah.

Isteri majikan pula melakukan tugas membersihkan kereta dengan menggunakan vakum. Dari lantai kereta, bonet, sehinggalah ke tempat duduk, semuanya divakum.

"Kena hati-hati, takut pula duit siling pun termasuk dalam vakum ni," kata penulis kepada isteri majikannya.

Lega rasanya, apabila semua kerja dapat disiapkan dan nasib menyebelahi kami apabila pemilik kenderaan itu seorang yang baik budi pekertinya.

"Kamu ambil wang ini. Tak perlu serahkan baki wang," katanya sambil meluncur keluar dari premis kami.

Seorang lagi pemilik kenderaan hanya melirikkan matanya seperti memberi isyarat mahu tugas yang kami lakukan ini dilaksanakan sebaik mungkin.

"Ini kalau basuh lima kali ada percuma sekali cucian ke?" soal pemilik kereta itu kepada penulis yang pada ketika itu sedang mengelap cermin keretanya.

"Kalau abang nak percuma tanya dengan bos sayalah," jawab penulis dengan selamba.

Mendengar perkataan seperti itu, timbul rasa kecewa dengan sikap dan mentaliti pemilik kenderaan itu.

Manakan tidak, bayaran yang diberi tidak setimpal dengan kerahan kudrat tulang empat kerat untuk memastikan kenderaan mereka kelihatan bersih dan kemas.

Melihatkan kerut di dahi penulis, 'majikan' hanya mampu tersenyum melihatkan wajah penulis yang agak tidak berpuas hati sebaik sahaja kereta kedua itu meluncur keluar.

"Biasalah, kita tidak mampu untuk beri kepuasan maksimum kepada mereka, tetapi cukuplah dengan memberikan perkhidmatan terbaik," katanya sambil tersenyum.

Penulis balik ke pejabat selepas pukul 12 tengah hari dan nyata, tugas pencuci kereta yang dilihat mudah, rupa-rupanya adalah tugas yang mencabar.

Mereka akan kehilangan sumber rezeki apabila musim hujan kerana tiada kereta yang akan memasuki ruang pusat mencuci berkenaan.



RAIS Yatim berbual dengan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas dan Jabatan Penerangan di Seremban, semalam.


SEREMBAN 20 Dis. - Kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Penerangan perlu menyatakan yang benar dalam laporan mereka walaupun ini bermakna terpaksa memberi maklumat balas yang negatif kepada pemimpin negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, mereka ini digalak untuk tidak berselindung dengan hal yang baik-baik sahaja.

"Saya sudah beritahu kepada Perdana Menteri mengenai hal ini. Tidak akan ada tindakan ke atas para pegawai ini (jika maklumat balas yang mereka beri adalah negatif).

Kita perlukan laporan yang benar supaya kerajaan sentiasa dapat membaiki dirinya," katanya semasa berucap pada majlis sepetang bersama jabatan-jabatan itu yang dihadiri oleh lebih kurang 125 pegawai dan kakitangan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Rais, laporan itu hendaklah seimbang dan mempunyai pengesahan daripada bentuk kebenaran maklumatnya.

"Dalam laporan perlu diperjelaskan hal-hal yang boleh mengukuh atau melemahkan kerajaan," katanya.

Beliau juga mahu pegawai JASA dan Jabatan Penerangan supaya tidak kelu lidah apabila berhadapan dengan rakyat.

"Kita memang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian tetapi bukan semua yang rakyat minta, dijamin dapat, kerana kejayaan bergantung kepada rezeki dan usaha rakyat itu sendiri," katanya.

Rais juga berkata, pegawai JASA dan Jabatan Penerangan bukan sekadar turun padang untuk memberi ceramah tetapi tugas mereka adalah untuk memenangi minda dan hati rakyat. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Awang import Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Shakeel Abbasi mengakui, dia sebenarnya belum menunjukkan permainan terbaik ketika membantu pasukan barunya membenam Maybank 4-1 dalam aksi pembuka tirai Liga Hoki Malaysia-TNB (MHL-TNB), Sabtu lalu.

Walaupun bermain cemerlang dan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, tonggak skuad kebangsaan Pakistan itu menegaskan, apa yang dipertontonkan pada pertemuan dengan Maybank cuma separuh daripada aksi terbaiknya.

"Saya sebenarnya baru tiba Jumaat lalu tetapi telah disuruh beraksi dalam perlawanan pertama pada hari Sabtu. Saya belum sempat membina keserasian dengan rakan-rakan sepasukan kerana tidak dapat menjalani latihan penuh.

"Walaupun bermulan goyah di awal permainan, saya mampu memberi persembahan yang boleh dianggap memuaskan sebagai pendatang baru ketika menentang Maybank,'' kata Shakeel, yang yakin mampu menunjukkan aksi lebih cemerlang jika diberi masa.

Tambah Shakeel, aksi pertama memaksa dia bermain di bahagian tengah walaupun kebiasaannya dia berperanan sebagai penyerang pasukan. YNS menyenaraikan pemain import paling ramai dalam liga kali ini dengan 11 pemain dari Pakistan dan India.

Ujar Shakeel lagi, menyertai liga Malaysia memberi kelebihan buatnya untuk meningkatkan prestasi menjelang Sukan Olimpik dua tahun lagi

"Saya banyak menerima tawaran di negara lain tetapi tahun lalu, persediaan lebih menjurus kepada Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

"Lagipun, ada yang mencadangkan bermain di Malaysia kerana persekitarannya sama seperti di Pakistan, terutama ia mampu meningkatkan prestasi menjelang Sukan Olimpik 2012 dan kejohanan besar tahun hadapan," ujarnya.

Cabul anak sendiri

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 17 Disember 2010 0 Komen

KUALA PILAH – Seorang lelaki Melayu ditahan polis Daerah Kuala Pilah, di sini, Isnin lalu, selepas dipercayai mencabul anak perempuannya sendiri dalam kejadian berasingan bulan ini di Melang.

Lelaki berumur 43 tahun dan hanya bekerja kampung itu ditahan selepas menerima laporan daripada mangsa yang berumur 15 tahun.

Lelaki terbabit dikatakan mengambil kesempatan mencabul kehormatan anak gadisnya itu ketika mereka tinggal berdua di rumah berkenaan berikutan neneknya tiada di rumah.

Kejadian Isnin lalu bukanlah yang pertama kali kerana awal bulan ini, mangsa pernah berdepan kejadian sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, suspek meraba tubuh anak gadisnya termasuk meramas buah dada mangsa ketika memasuki bilik tidur pada waktu malam.

“Akibat terkejut dengan tindakan bapanya sendiri, mangsa melarikan diri ke rumah jirannya untuk mendapat perlindungan.

“Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan terkutuk bapanya itu nekad membuat laporan polis selepas kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

TAMPIN – Penghujung 2010 menjadi lebih bermakna apabila lebih 40 keluarga anggota Ikatan Relawan (Rela) Rakyat Malaysia berpeluang menyempurnakan lawatan sambil belajar ke negara jiran iaitu Thailand.

Ketua Perhubungan Rela Mukim (KPRM) Tampin, Puteh Kasim berkata, lawatan ke tempat menarik sekitar Thailand seperti Hat Yai dan Songkhla itu bukan sekadar melihat keindahan negara jiran, sebaliknya menyemai semangat cintakan kesejahteraan negara.

Menurutnya, peranan Rela membantu anggota pertahanan negara dalam menjaga keselamatan masyarakat peringkat akar umbi berdasarkan konsep kesukarelaan dan khidmat komuniti.

“Oleh itu, kita berpendapat melalui penganjuran lawatan ini oleh Rela Kampung Baru Tampin mampu menawarkan pengalaman dan persekitaran berbeza kepada mereka untuk mencintai kekuatan masyarakat yang terdapat di negara kita.

“Malah, sejarah Songkhla yang mengimbau perpaduan melalui penonjolan seni keramik Thailand, China dan Melayu mampu memberi kesedaran kepada peserta meningkatkan semangat cintakan tanah air yang dihuni masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

Puteh berkata, pengalaman menyertai lawatan berkenaan bermakna kepada peserta kerana sebagai ganja-ran riadah seisi keluarga setelah banyak memberikan kerjasama dalam setiap program dianjurkan Rela.

Menurutnya, banyak tugas kesukarelaan yang bakal dilaksanakan anggota Rela seperti membanteras musuh tanaman, menjaga keselama-tan penempatan sendiri dan lalu-lintas sekiranya terdapat program rasmi.

“Oleh itu, kita harap melalui lawatan ini, anggota Rela khususnya Rela Kampung Baru Tampin lebih bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab mereka menonjolkan semangat cintakan tanah air,” katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiSD863dISLrZZShcsZGyF90FAP8mHP49Ncdxkfg6UW5mL_mTyj0YXqQ5oU-Ttsql9Cpjt8wV6tKra-BFRKURk57YT8R1QvF-Y8A2GiBo3km5Nxt4esTgCR7-6bp4WkfTKzp5xvzzcTF8Q/s1600/leaky-faucet.jpg

SEREMBAN – Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) mengeluarkan 12,563 notis merah sejak November 2010 kepada pelanggan yang gagal menjelaskan bayaran penggunaan air.

Pengurus komunikasinya, Azlan Abdul Aziz berkata, sehingga kini Sains giat melaksanakan pemotongan bagi akaun tertunggak di seluruh Negeri Sembilan.

“Pelanggan yang menerima notis merah diberi tempoh 14 hari untuk membuat bayaran sebelum bil merah dikeluarkan dan tindakan pemotongan terhadap bekalan air dilaksanakan.

“Kita (Sains) telah mengeluarkan 2,750 bil merah untuk November. Setakat ini sahaja, lebih 1,000 pemotongan yang telah dibuat kepada pemegang akaun yang gagal membuat bayaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pelanggan yang menerima notis merah turut disarankan supaya membuat pembayaran di kaunter kutipan Sains di setiap daerah sebelum bekalan air dipotong dan dikenakan denda.

“Kita juga menasihatkan pelanggan supaya berhubung dengan mana-mana Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) Sains sekiranya tidak dapat membuat bayaran penuh.

“Sebagai alternatif, kita menyediakan kemudahan bayaran secara ansuran. Bagi akaun yang telah dipotong, bekalan hanya akan disambung dalam tempoh tiga hari bekerja selepas pembayaran,” katanya.

Azlan berkata, bagi mengelakkan pemotongan dan gangguan, pembayaran bil air setiap bulan perlu dilakukan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Sains akan melaksanakan operasi pemotongan di kawasan Nilai mulai esok dan menempatkan kaunter bayaran bergerak bagi kemudahan pelanggan.

:“Kaunter bergerak berada di tempat letak kenderaan berdekatan bangunan CIMB Bank Semarak 2, Nilai,” katanya.

Menurutnya, jika memerlukan bantuan boleh menghubungi Sains menerusi talian bebas tol 1-800-88-6982.

ATM ceria pekan Rompin

Dikirim oleh Warieh 0 Komen

PRT News


A customer takes advantage of the convenienceof an ATM at Al Warka bank in downtown Baqubah, capital of Diyala Province.
Penantian masyarakat DUN Jeram Padang sepanjang 30 tahun tinggal di kawasan berkenaan kini berakhir dengan adanya kemudahan mesin ATM

JEMPOL - Masyarakat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, di sini, puas hati apabila Bank Simpanan Nasional (BSN) menempatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak dekat Rompin.

Kebanyakan ditemui memberi maklum balas positif atas usaha dilaksanakan pihak bertanggungjawab mendapatkan kemudahan itu dan mereka turut menyifatkan langkah diambil tidak sia-sia.

Peniaga, Zainuri Alias, 56, berkata, penantian sepanjang 30 tahun tinggal di kawasan itu kini berakhir dan kemudahan mesin ATM terbabit dinantikan sejak sekian lama.

Menurutnya, kini mudah penduduk sekitar mengeluarkan wang terutama kesesuaian kedudukan stesen minyak itu sendiri yang terletak di laluan utama ke Rompin-Pasir Besar, Gemas.

“Sekalipun mesin ATM itu terjamin keselamatannya. Pada masa sama, ia memberi kemudahan kepada pengguna yang ingin mengeluarkan duit pada waktu kecemasan,” katanya.

Penduduk Kampung Baru Rompin, Zalipah Rahmat, 31, menyifatkan, kemudahan mesin ATM itu membantu menghidupkan pekan Rompin.

Menurutnya, sebelum ini, penduduk sekitar akan ke pekan Bahau atau Gemas untuk mengeluarkan duit yang agak jauh.

“Saya berharap akan ada mesin ATM untuk deposit tunai atau menyimpan wang atau cek untuk menyimpan duit, secara tidak langsung dapat menambah kemudahan sedia ada.

Sementara itu, Nordin Suboh, 59, dari Palong Dua berkata, kebiasaannya dia akan pergi ke pekan Bahau atau Gemas untuk mengeluarkan duit.

Menurutnya, kini mudah untuk mengeluarkan duit, tambahan apabila waktu kecemasan, sekali gus dapat mengurangkan masa dihabiskan di bank.

KUALA KLAWANG - Orang ramai dinasihatkan supaya melaksanakan tanggungjawab sebagai pengguna untuk menjelaskan cukai taksiran mereka bagi kepentingan masyarakat dan pembangunan negara.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu, Zulkifli Baharan berkata, kutipan cukai itu bukan untuk membebankan masyarakat tetapi ia digunakan bagi membayar segala kerja penyelenggaraan berkaitan jalan, rumput, longkang dan sebagainya.

"Pihak Majlis Daerah Jelebu menggesa orang ramai menjelaskan cukai taksiran mereka dengan segera agar tindakan undang-undang tidak diambil," katanya.

Dalam pada itu, seramai 38 individu dikenakan tindakan undang-undang oleh Majlis Daerah Jelebu berikutan tunggakan cukai taksiran yang melebihi lima tahun.

"Beberapa peruntukan perundangan digunakan ketika mengambil tindakan ke atas individu yang lewat membayar cukai iaitu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Individu yang ingkar juga dikenakan tindakan di bawah Seksyen 148, Tindakan Untuk Menuntut Tunggakan, Seksyen 149, Jualan Harta Yang Ditahan, Seksyen 151 Kuasa Untuk Menahan Menjual Pegangan dan Seksyen 152, Menuntut Kos," katanya.

Menurutnya, individu terbabit dinasihatkan melunaskan tunggakan cukai taksiran atau berjumpa dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menyelesaikan masalah itu.

SEREMBAN: Orang ramai berpeluang menyaksikan keadaan dan peralatan yang digunakan di Penjara Pudu, Kuala Lumpur pada Pameran Penjara Pudu yang sedang berlangsung di Muzium Negeri Sembilan, di sini.

Pameran yang dijangka berakhir hujung bulan depan itu turut memberi peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat keadaan sebenar seorang banduan di dalam penjara.

Rakaman video memaparkan kejadian banduan disebat turut dipertontonkan kepada pengunjung bagi memberi keinsafan dan pengajaran supaya tidak membuat jenayah sehingga perlu menerima balasan sedemikian.

pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, berkata pameran itu juga memberi peluang kepada orang ramai mendapat maklumat mengenai sistem Penjara Pudu.

"Setiap sudut pada pameran ini perlu dijadikan pengajaran kepada semua golongan, sekali gus memberi keinsafan kepada masyarakat bahawa perbuatan salah akan mendapat pembalasan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pameran Penjara Pudu di Muzium Negeri Sembilan, di sini.

Hadir sama, Ketua Penyelaras Muzium Penjara Malaysia Bandar Hilir, Melaka, Mohamed Musa dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs Shamsuddin Ahmad.

Selain video hukuman rotan dan sel yang menempatkan banduan, antara bahan yang dipamerkan adalah keadaan mahkamah, peralatan di dalam lokap, pakaian kakitangan, tempat hukuman gantung dan barang yang pernah digunakan di dalam penjara seperti kamera antik dan seterika lama.
Peniaga, Normala Abd Aziz, 42, berkata dia mengetahui mengenai aktiviti itu menerusi radio dan mengajak anak saudaranya melihat pameran itu kerana berminat mengetahui keadaan Penjara Pudu.

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Negara sepatutnya mampu menghasilkan 28,000 judul buku baru


Rosmah Mansor menyampaikan Anugerah Perdana Tun Sri Lanang kepada Rais Yatim di Kuala Lumpur, malam tadi.

setiap tahun berdasarkan nisbah kepadatan penduduknya kini yang mencecah 28 juta orang.

Penaung Anugerah Buku Negara 2010, Datin Seri Rosmah Mansor bagaimanapun berkata, Malaysia ketika ini hanya mampu menghasilkan sekitar 15,000 judul buku baru setahun iaitu 50 peratus sahaja jika dibandingkan dengan nisbah negara maju.

"Saya melihat Malaysia masih kurang menghasilkan novel atau karya agung yang dapat menyerlahkan citra bangsa dan tamadun negara pada ketika ini.

"Justeru, saya menggesa para ilmuwan dan pemikir kita untuk menghasilkan pelbagai jenis buku sama ada fiksyen atau bukan fiksyen yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia selain menggalakkan penulisan buku sejarah, budaya tempatan serta pengalaman dan pandangan kita tentang sesuatu subjek atau isu global untuk dikongsikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Buku Negara 2010 dan Pelancaran Tabung Buku Negara di sini, malam ini.

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Anugerah Buku Negara 2010 terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Anugerah Perdana dan Anugerah Industri yang mengandungi keseluruhan sebanyak 33 anugerah.

Rais telah dianugerahkan Anugerah Perdana iaitu Anugerah Tokoh Buku Negara yang dikenali sebagai Anugerah Perdana Tun Sri Lanang.

Dalam majlis ini, dua buah buku iaitu Permainanku, Warisanku dan Serama Malaysia: Ayam Terkecil Dunia dilancarkan.

SEREMBAN 16 Dis. - Umat Islam di negeri ini diseru untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang keagamaan dalam meningkatkan lagi syiar dan dakwah Islamiah di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin berkata, peranan ilmu dalam menyebarkan dakwah amat penting dalam memastikan syiar Islam terus berkembang melalui pendidikan.

Katanya, peranan ilmu juga dilihat penting kerana ia bukan sahaja dapat memberikan manfaat besar kepada individu akan tetapi ia juga membolehkan umat Islam meningkatkan taraf kualiti hidup mereka yang lebih sempurna.

"Jadilah orang belajar, kerana belajar itu tidak pernah terhenti. Dengan belajar itulah segala ilmu akan kita perolehi lebih-lebih lagi tentang agama.

"Ia juga merupakan salah satu perkara yang dituntut oleh agama kerana dengan ilmu itulah nanti umat Islam akan lebih dipandang tinggi oleh masyarakat malahan dakwah Islamiah turut disebarluaskan," katanya.

Salbiah yang juga isteri Menteri Besar berkata demikian kerika berucap pada Majlis Tautan Kasih dan Wacana Ilmu sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah di Dewan Majlis Perbandaran Seremban di sini semalam.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Zainab Nasir, Pengerusi Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri, Gharizah Hashim.

Dalam pada itu, Salbiah turut menjelaskan penghijrahan umat Islam ketika ini bukan hanya dilakukan dengan ungkapan semata-mata akan tetapi ia disusuli dengan perancangan serta usaha berterusan dalam memajukan diri.

Beliau juga berharap usaha yang dilakukan oleh Perkim ini bukan sahaja dapat mendapat sambutan malahan usaha memperkembangkan syiar Islam dapat diteruskan dapat dilakukan secara berterusan.

"Saya berharap dengan iltizam dan semangat hijrah ini, ia bukan sahaja dapat memberi suntikan kita mengorak langkah untuk berjaya malah ia juga dapat mempertingkatkan kemajuan kepada umat Islam itu sendiri," jelas beliau.

REMBAU 16 Dis. - Semua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta kepimpinan masyarakat digesa mengambil berat kebajikan warga emas supaya masalah yang dihadapi mereka dapat diatasi segera.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan memberitahu, peranan pihak terlibat dalam mengesan golongan berkenaan amat diperlukan memandangkan mereka lebih arif mengenai masalah yang dihadapi penduduk setempat.

Malah katanya, tugas berkenaan juga boleh dimainkan pertubuhan setempat yang dilihat boleh menyumbang dalam membantu golongan yang memerlukan termasuk ahli jawatankuasa masjid dan sebagainya.

''Saya menasihatkan kepimpinan kampung seperti JKKK, pertubuhan politik, ahli kariah masjid serta kelab warga emas berhubung antara satu sama lain.

''Pada masa yang sama kita mahukan semua JKKK menjalankan program atau ambil peluang secukupnya untuk memastikan keadaan warga emas terutamanya yang tinggal keseorangan di berikan perhatian.

''Kita tidak mahu kesejahteraan golongan ini tidak terurus apatah lagi untuk menjaga makan minum mereka sehinggakan tidak ada siapa yang ambil peduli. Kita tidak mahu perkara ini berlaku," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Kampung ke Kampung Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Kampung Linsum sini hari ini.

Mengenai masalah yang dihadapi oleh rakyat di DUN berkenaan selepas melawat tiga buah kampung sebelum ini, Mohamad menjelaskan, setakat ini kerajaan memberikan apa yang terbaik untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Namun katanya, terdapat sedikit kekeliruan mengenai sistem penyampaian di kalangan masyarakat tempatan yang mengakibatkan rakyat tertanya-tanya mengenai apa yang akan dilakukan oleh kerajaan dalam menangani sesuatu isu.

''Oleh sebab itu, kita mahu kepimpinan tempatan dapat memahami apa yang disampaikan oleh kerajaan. Ini akan membolehkan mereka dapat berhadapan sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi,'' ujarnya.

Pengusaha keli diserbu

Dikirim oleh Warieh 0 Komen

SEREMBAN 16 Dis. - Sebuah premis rumah kedai dua tingkat yang beroperasi menternak ikan keli diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) apabila didapati menjalankan kegiatan mencuri air di Inland Port berhampiran Nilai 3 dekat sini pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, pengusaha terbabit didapati telah melakukan penyambungan air secara haram bagi digunakan untuk menjalankan aktiviti perusahaannya.

Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, operasi yang disertai oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Penguatkuasaan Sains bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu merupakan hasil maklumat orang awam.

''Hasil pemeriksaan, kami dapati premis berkenaan telah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 12 milimeter (mm) yang disambungkan secara haram ke paip utama milik Sains.

''Kami juga mendapati air yang dicuri itu disalurkan ke 19 buah kolam konkrit yang digunakan bagi menternak ikan keli dalam premis terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas Azlan, pihaknya juga telah menjalankan ujian klorin dan mendapati air yang dicuri itu sememangnya merupakan air terawat milik Sains.

Katanya, ketika serbuan, hanya seorang lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 40-an berada di premis berkenaan yang ditugaskan bagi mengendalikan operasi perusahaan terbabit.

''Semasa serbuan, pemilik perusahaan terbabit tidak berada di premis berkenaan, namun kita juga telah mengeluarkan notis pemberitahuan bagi tujuan menuntut semula kos air yang telah dicuri.

''Pada masa yang sama, pengusaha itu bakal berhadapan dengan tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA) 2006," tambah Azlan.

Menurutnya, jika disabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

''Sains akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan individu terlibat dengan kegiatan tersebut dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

''Pihak kami amat menghargai bantuan orang awam dalam membendung kegiatan haram ini yang turut membabitkan bukan sahaja kes komersial malah di kelompok domestik," ujarnya.

Azlan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes kecurian air dengan menghubungi talian bebas tol Sains iaitu 1-800-88-6982.

PBNS idam tiga gelaran

Dikirim oleh Warieh Rabu, 15 Disember 2010 0 Komen


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS)mensasarkan untuk memenangi tiga piala iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, pada kempen Liga Malaysia yang bermula bulan depan.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sasaran itu bukan sesuatu yang mustahil memandangkan pasukan itu telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim baru itu.

Sasaran tu berdasarkan pencapaian tahun ini di mana pasukan itu merangkul Piala FA dan naib juara Piala Malaysia, Mohamad, yang juga Menteri Besar, berkata mereka telah mendapatkan khidmat tujuh pemain baru untuk menggalas cabaran pada musim baru.

“Pemain baru tersebut ialah tiga pemain kebangsaan Farizal Marlias (penjaga gol), Ahmad Fakri Saarani (penyerang), Norhafiz Zamani Misbah (pertahanan), bekas penyerang Kelantan Hairuddin Omar, yang pernah beraksi untuk Negeri Sembilan pada 2009,” katanya pada majlis memperkenalkan pegawai dan pemain Liga Super musim 2011, semalam.:

Bekas penyerang Harimau Muda Ahmad Aminuddin Shaharuddin, bekas pertahanan KL Plus Irwan Fadzli Idrus dan bekas pemain tengah Selangor PKNS G. Mahathevan.

Mohamad berkata antara pemain berpengalaman yang dikekalkan termasuk Shukor Adan, Idris Karim dan pemain kebangsaan S. Kunalan serta gandingan kembar yang juga pemain kebangsaan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Zaquan Adha.

Menurutnya, Shukor dan Hairuddin, masing-masing dilantik sebagai ketua dan penolong ketua pasukan manakala Datuk Abd Halim Abd Latif dan Wan Jamak Wan Hassan pula, masing-masing dikekalkan sebagai pengurus pasukan dan ketua jurulatih.

Pada majlis itu, syarikat pengeluar pakaian sukan Lotto diumumkan sebagai penaja kelengkapan pakaian sukan untuk pasukan Negeri Sembilan musim depan dengan kos penajaan berjumlah RM250,000. -- BERNAMA

Pemakanan sihat untuk polis

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


PORT DICKSON – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson mengambil inisiatif mengadakan Seminar Pemakanan Sihat kepada anggotanya.

Langkah itu bertujuan memastikan anggota polis sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat yang turut mempengaruhi kerjayanya.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Baljeet Singh berkata, ia merupakan satu permulaan dalam memastikan semua anggota polis di daerah ini mengikuti garis panduan cara pemakanan seimbang, sejajar dengan tugasan mereka yang memerlukan sentiasa berada di dalam keadaan sihat dan cergas.

Menurutnya, melalui seminar diberikan pegawai kesihatan, sedikit sebanyak dapat membantu anggota polis mengenal pasti pemakanan mereka sama ada menyumbang kepada keseimbangan ataupun lebih memudaratkan.

“Apabila anggota mengamalkan pemakanan sihat dan seterusnya gaya hidup sihat, secara tidak langsung akan menjadi tunjang kepada kewibawaan mereka dalam melaksanakan tugas.

“Kesibukan bekerja tidak boleh dijadikan alasan oleh anggota untuk mengabaikan amalan pemakanan sihat. Disiplin mereka dalam melaksanakan pemakanan sihat juga perlu seimbang dengan disiplin mereka sebagai anggota polis,” katanya kepada Sinar Harian pada seminar berkenaan.

Baljeet berkata, seminar untuk fasa pertama ini melibatkan seramai 30 anggota polis pelbagai pangkat dan dari masa ke semasa program berkenaan akan dikembangkan secara berperingkat.

“Selain itu, penganjuran seminar lebih fokus kepada sesuatu jenis masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis juga akan dilaksanakan.

“Kategori penyakit tidak berjangkit seperti ini hanya boleh dielakkan dengan disiplin diri sendiri dalam memastikan langkah pencegahan dilaksanakan melalui amalan gaya hidup sihat,” katanya.

Hadiah pemilik rumah usang

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


REPAH – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Shaziman Abu Mansor mengumumkan bahawa beliau mendapat peruntukan tambahan bagi tujuan membaik pulih kediaman dan ia adalah berita baik yang amat dinanti pemilik rumah usang serta uzur di sekitar Parlimen Tampin.

Shaziman berkata, peruntukan tambahan berkenaan diberi berdasarkan kredibilitinya sebagai Menteri Kerja Raya dan berharap agar pemimpin pada peringkat akar umbi akan 'turun padang' mencari kediaman usang yang wajar dibaik pulih segera.

Malah menurutnya, melalui peruntukan itu, beliau menjangkakan kira-kira 30 kediaman sekitar Parlimen Tampin akan dibaik pulih dengan kos bantuan sekitar RM3,000 hingga ke RM5,000.

“Selain itu, kita juga sedang berusaha untuk menjadikan kos baik pulih itu dapat dimaksimumkan sebaik mungkin dengan meminta kerjasama anggota pertahanan negara membaik pulih rumah secara konsep bergotong-royong.

“Keutamaan kita dalam pemilihan penerima bantuan baik pulih ini adalah bagi kediaman yang diduduki sudah roboh dan usang,” katanya sempena Program Sukaneka anjuran UMNO Cawangan Repah 2010 di Padang Sekolah Menengah Rendah Agama Repah (SMRAR).

Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Tampin, Datuk Zainab Nasir; Pemangku Ketua UMNO Cawangan Repah, Jonet Yusuff dan Pengetua SMRAR, Sharifah Intan Syed Aziz.

Sementara itu, Shaziman berkata, kerajaan sentiasa prihatin akan nasib masyarakat peringkat akar umbi dan melaksanakan projek atau program secara berperingkat demi manfaat masyarakat setempat itu sendiri.

Menurutnya, komitmen berkenaan adalah agenda utama kerajaan dalam membantu masyarakat dan sudah menjadi tanggungjawab masyarakat bagi menjaga keharmonian serta kelangsungan perpaduan masyarakat berbilang kaum.

“Oleh itu, kita amat menggalakkan agar mana-mana cawangan UMNO di Parlimen Tampin ini, untuk sentiasa mengadakan program yang mampu membina hubungan antara masyarakat setempat bagi manfaat bersama,” katanya.

Batal niat mahu melabur

Dikirim oleh Warieh 0 Komen

SEREMBAN – Sebuah hotel terkemuka, Hard Rock Cafe & Hotel membatalkan niat melabur di Port Dickson apabila permohonan syarikat antarabangsa itu untuk mendapatkan hak eksklusif pantai awam tidak dibenarkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, :Kerajaan Negeri tidak boleh menerima permohonan itu kepada mana-mana hotel sebagaimana yang diminta pihak berkenaan.

“Pantai Port Dickson adalah hak awam dan ia tidak boleh diberikan kepada mana-mana hotel di negeri ini termasuk syarikat antarabangsa.

“Ini adalah demi kepentingan rakyat, tidak mengapalah kita kehilangan pelabur seperti Hard Rock Cafe & Hotel,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga sentiasa pro-aktif menangani pelbagai projek terbengkalai dan sudah ada pelabur yang mahu meneruskan projek terbengkalai di Kamayan Square, Seremban.

Pada masa sama, Mohamad berkata, negeri ini terus menjadi pilihan pelabur dari dalam dan luar negeri.

“Jumlah pelaburan asiing dan tempatan yang telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini adalah sebanyak RM516.7 juta, membabitkan seramai 23 pelabur.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM309.4 juta adalah pelaburan asing, melibatkan 16 buah syarikat asing, sementara RM207.3 juta adalah daripada tujuh syarikat tempatan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga sentiasa menggalakkan pelaburan baru daripada pelabur sedia ada, mahupun yang baru memulakan operasinya di sini.

“Kehadiran pelabur ke negeri ini menunjukkan peningkatan positif untuk terus memilih lokasi di sini sebagai pilihan terbaik, bukan sahaja dalam sektor industri dan perkilangan tetapi juga perkhidmatan serta pelancongan.

“Dengan jumlah kehadiran pelabur menggalakkan, ia berjaya menyediakan 15,314 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini sejak penghujung 2007 hinggalah Ogos tahun ini,” katanya.


SIKAMAT – Masalah sosial dalam kalangan remaja masa kini memerlukan rawatan melalui langkah pencegahan awal dengan memastikan mereka diberi didikan agama sebaik mungkin.

Exco Kebajikan Sosial dan Komunikasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan, Muhamad Azli Harun berkata, golongan remaja memerlukan pengisian rohani dan jasmani berteraskan ajaran Islam sebenar.

Menurutnya, walaupun ibu bapa zaman sekarang mementingkan pendidikan anak, namun masih ramai hanya memberi menekankan kepada aspek akademik, semata-mata berbanding pendidikan rohaniah dan sahsiah diri.

“Pentingnya ilmu agama diberi kepada remaja kerana dalam keadaan persekitaran hari ini yang mencabar, ajaran agama itu dapat dijadikan benteng dalam kehidupan.

“Melalui didikan agama sempurna dapat menjadikan generasi muda lebih berkeperibadian, sekali gus menampilkan ciri-ciri remaja yang mempunyai jatiditi melayu Islam yang sejati,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Kursus Asas Fasilitator di Restoran Sri Aden, Warisan Puteri, dekat sini.

Kursus berkenaan merupakan salah satu pengisian untuk Program Pemantapan Jiwa Rabbani anjuran ABIM dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Ustaz Nor Azamir Alias.

Sementara itu, Muhamad Azli berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan daripada mana-mana belia di negeri ini untuk menjadi fasilitator berkongsi ilmu dan pengalaman dimiliki.

“Ini kerja sukarelawan dan tidak dibayar. Tapi jasa kita diperlukan dalam usaha melahirkan generasi pembangunan modal insan cemerlang,” katanya.


BANDAR SERI JEMPOL- Dalam tempoh lapan bulan lagi, negara bakal mengalami perubahan besar dari segi pembangunan digital dan teknolgi maklumat yang akan menggunakan teknologi terkini iaitu teknologi LTE atau Long Term Evolution dari Eropah.

Teknologi itu akan menggantikan perkhidmatan 3G dan 4G yang buat masa kini hanya bersifat sementara.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, teknologi paling terkini itu akan memastikan penduduk memperoleh perkhidmatan jalur lebar lebih baik dari sekarang.

Menurutnya, walaupun tidak dapat membina teknologi itu dalam sekelip mata, tetapi ia mampu membantu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di negara ini.

“Dengan adanya teknologi baru ini nanti, banyak perubahan yang akan berlaku dalam kehidupan, antaranya boleh menonton televisyen menerusi telefon bimbit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Digital Jempol di Kompleks Rakan Muda, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin.

Digital Jempol adalah kawasan digital ketiga selepas Digital Pekan di Pekan, Pahang, Januari lalu dan Digital Pagoh di Pagoh, Johor, Jun lalu.

Digital Jempol turut menyediakan pelbagai kemudahan jalur lebar kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Dr Rais berkata, kementerian sudah mengedarkan 120,000 komputer riba kepada pelajar yang layak di seluruh negara menerusi fasa pertama.

“Fasa kedua akan dimulakan selewat-lewatnya Februari depan dengan 300,000 komputer riba lagi.

“Semua komputer riba ini akan diserahkan kepada Ahli Parlimen kawasan masing-masing kerana mereka yang akan menentukan siapa yang layak menerima komputer ini,” katanya.

Dua kali dipecah masuk

Dikirim oleh Warieh 0 Komen




LIMBONGAN - Penjenayah yang bertindak memecah masuk Masjid Al-Ehsan, Kampung Limbongan, dekat sini, Jumaat lalu bukan saja tergamak mengambil wang tabung derma di masjid itu.

Malah, individu terbabit juga bertindak meninggalkan tungku besi di dalam ruang solat, dipercayai digunakan sebagai alat mengumpil jeriji tingkap.

Lebih menyedihkan, kejadian disedari sebelum solat Subuh itu merupakan kejadian kali kedua dua di masjid berkenaan dalam tempoh selang sehari.

Imam 2 masjid berkenaan, Shaudin Jalil berkata, kejadian itu disedari salah seorang Ahli Jawatankuasa Lembaga Masjid, Zakaria Tamby yang tiba untuk membuka pintu masjid, kira-kira 5 pagi.

"Sebaik saja dia memasuki ruang solat utama masjid, dia terkejut mendapati satu daripada tabung derma pada dinding masjid didapati ternganga, sebelum menyedari satu lagi tabung derma di dinding berdekatan diumpil," katanya.

Menurutnya, selepas meninjau sekitar ruang dalam masjid, Zakaria turut ternampak besi tungku memasak diletakkan berhampi�ran peti besi tabung derma masjid dalam keadaan kunci mangganya terkopak.

“Dalam masa sama, dua lagi jemaah tiba untuk menunaikan solat Subuh turut memeriksa di dalam ruang solat utama masjid dan mendapati sebahagian besi jeriji pada tingkap dalam keadaan terbuka.

“Kami percaya selepas menceroboh masuk penjenayah terbabit cuba memecahkan mangga peti besi derma, tetapi gagal membukanya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di masjid berkenaan, semalam.

Shaudin berkata, walaupun jumlah wang di dalam peti besi itu tidak seberapa, dianggarkan sekitar RM250 hingga RM300 sahaja, namun tindakan penjenayah mecemarkan kesucian tempat ibadat ternyata amat dikesali.

“Kami amat kesal kejadian yang berlaku, malah tidak menyangka rumah Allah dijadikan sasaran penyangak hina ini semata-mata untuk mereka mendapatkan hasil dengan cara tidak betul," katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Malim, dekat sini pada hari sama.



KUALA PILAH – Pengusaha seramik di sini, disarankan menghasilkan produk bermotifkan identiti daerah ini bagi memastikan ia mampu bersaing dengan pasaran sedia ada mahupun luar negara, sekali gus menjadi tarikan pelancong.

Pengerusi Lembaga Pengarah Sirim, Datuk Jamaliah Kasim berkata, persaingan di dalam negara bagi pasaran seramik amat tinggi seperti seperti produk labu sayung, pasu dan ukiran kayu di Sarawak serta kraf tangan dari Pahang.

“Daerah Kuala Pilah perlu bijak mengambil peluang menghasilkan kraf tangan yang boleh diingati pelancong, beridentitikan daerah ini dan berbeza dengan negeri lain.

“Dari situ, kita boleh bercerita mengenai kualiti setiap produk, pemasaran dan strategik serta promosi berterusan untuk menarik pembeli membeli produk Daerah Kuala Pilah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Pameran Seramik D’Pilah berhampiran Kuarters :Jaba�tan Kerja Raya (JKR) Melang.

Hadir sama, Setiausaha sulit Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Zain Zainal; Pengurus Besar Bahagian Kumpulan Korporat Sirim, Noraini Kassim dan Pe�ngarah Mara negeri, Abdullah Muhamad.

Jamaliah berkata, identiti itu penting supaya pelancong lebih mengenali Daerah Kuala Pilah dengan keindahan alam semula jadi dan budaya tempatan yang diterapkan pada produk berkenaan.

“Perkara yang perlu diberi perhatian adalah motif dan ukiran seramik harus menarik serta berasaskan budaya tempatan termasuk gambaran keindahan flora dan fauna sebagai paparan.

“Secara kasarnya, saya melihat setiap peserta yang mengikuti bengkel latihan teknologi seramik ini mempunyai idea dan kreatif menghasilkan seramik mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, ada peserta yang mengambil ilham cili kerana Negeri Sembilan sememangnya terkenal dengan masakan lemak cili padi, selain corak bermotifkan daun sirih sebagai perhiasan lampu tidur.

“Jika peserta bersungguh-sungguh, saya yakin dan percaya produk D’Pilah akan terkenal seperti produk yang lain.

“Pelbagai rintangan dan cabaran dalam persaingan perlu dikaji supaya kita tahu di mana kedudukan produk seramik D’Pilah,” katanya.

Jamaliah berkata, cabaran produk seramik dari China sudah pasti menjanjikan persaingan hebat kerana banyak terdapat di negara ini dan harganya pula murah.

“Justeru, kita akan lihat dan menangani masalah yang berlaku bersama agensi berkaitan supaya produk negara kita dapat menembusi pasaran di dalam dan di luar negara.

“Sementara itu, peserta bengkel diharap tidak mudah putus asa kerana mereka adalah perintis kepada kejayaan akan datang. Jangan terhenti di sini sahaja, sebaliknya perlu ada kesinambungan menjayakan produk seramik D’Pilah,” katanya.

Tujuh muka baru kuatkan NS

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Mohammad Hasan bersama pemain dan pegawai pada majlis memperkenalkan skuad Liga Super Negeri Sembilan untuk musim 2011 di Seremban, semalam. - BERNAMA


SEREMBAN - Tujuh muka baru bakal menguatkan cabaran Negeri Sembilan pada musim 2011, dengan misi utama memburu sekurang-kurangnya tiga kejuaraan - Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran besar itu bukan sesuatu yang mustahil, apatah lagi kehadiran beberapa muka baru bakal menguatkan semua posisi dalam pasukan.

Katanya, kemasukan tujuh pemain baru ini akan menampung masalah kekurangan pemain berkemampuan, terutama apabila berlaku masalah kecederaan dalam kesebelasan utama.

Tujuh muka baru yang bakal menyarung jersi Negeri Sembilan musim depan adalah bekas penyerang Kelantan, Hairuddin Omar, selain tiga bekas pemain Perlis - penyerang, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Aminuddin Shaharuddin serta penjaga gol, Farizal Marlias.

Turut memperkuatkan cabaran skuad Rusa adalah dua bekas tonggak pertahanan KL Plus, Irwan Fadzli dan Norhafiz Zamani Misbah serta pemain tengah PKNS Selangor, G. Mahathevan.

Mohamad berkata, antara pemain berpengalaman yang dikekalkan termasuk Shukor Adan, Idris Karim dan pemain kebangsaan S. Kunalan serta gandingan kembar yang juga pemain kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Zaquan Adha.

Katanya, Shukor dan Hairuddin, masing-masing dilantik sebagai ketua dan penolong ketua pasukan, manakala Datuk Abdul Halim Abdul Latif dan Wan Jamak Wan Hassan dikekalkan sebagai pengurus pasukan dan ketua jurulatih.

Pada majlis itu, syarikat pengeluar pakaian sukan Lotto diumumkan sebagai penaja kelengkapan pakaian sukan untuk Negeri Sembilan musim depan dengan kos penajaan berjumlah RM250,000.

''Ia (kemasukan tujuh pemain baru) adalah selari dengan hasrat PBNS untuk mengatasi masalah kekurangan pemain berkualiti yang boleh diketengahkan dalam kesebelasan utama apabila terdapat tonggak utama mengalami kecederaan.

"Tahun lalu, kita cuma ada 11 pemain yang benar-benar mampu menggalas tanggungjawab beraksi dalam kesebelasan utama. Pada ketika itu, pasukan berhadapan dengan masalah untuk menggantikan pemain lebih-lebih lagi jika berlaku kecederaan kepada salah seorang pemain utama," katanya.

Sementara itu, Norhafiz ketika ditemui berkata, dia amat gembira kembali ke pangkuan Negeri Sembilan, sambil melihat pasukan itu berpotensi memburu lebih banyak kejuaraan musim depan.

"Saya gembira dapat menyertai semula pasukan ini kerana saya telah dilatih sejak kecil di negeri ini, karier saya pun bermula dari akademi bola sepak negeri ini. Pada saya Negeri Sembilan mempunyai ramai pemain muda yang berpotensi," ujarnya.

Dalam pada itu, Hairuddin berkata, dia amat berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk meneruskan kariernya di Negeri Sembilan. "Saya berjanji kepada Menteri Besar musim lalu yang saya akan bermain semula untuk Negeri Sembilan dan saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan ini," katanya.

SEREMBAN 14 Dis. – Semua penerima Bantuan Ekonomi Kampung (BEK) di negeri ini digesa


HASIM Rusdi (dua kiri) menyampaikan bantuan kepada penerima pada majlis penyerahan Bantuan Ekonomi Kampung (BEK) 2010 di Mambau, Seremban, kelmarin.

memanfaatkan sepenuhnya bantuan peralatan yang diberikan bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, golongan terbabit yang juga terdiri daripada mereka berpendapatan rendah harus menghargai pemberian kerajaan demi kesejahteraan mereka.

“Jangan pula jadikan bantuan peralatan yang diberikan untuk membantu peniagaan mereka sebagai gajah putih sahaja di rumah atau kedai masing-masing.

“Dulu masa memohon semangat berkobar-kobar tetapi bila sudah dapat malas pula, sebaiknya gunakanlah bantuan ini untuk meningkatkan perniagaan anda,” kata beliau.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian BEK 2010 anjuran Kemas Negeri Sembilan di Mambau dekat sini semalam.

Sebanyak 13 penduduk daripada seluruh negeri ini menerima bantuan mesin jahit dan mesin membuat mi pada majlis tersebut.

Hasim menambah, kerajaan melalui agensi terbabit menyediakan pelbagai bantuan kepada penduduk yang berpendapatan rendah dan berdaya saing.

“Bagi mereka yang ingin maju dalam perniagaan dan meningkatkan taraf ini namun tidak berkemampuan bantuan ini diberikan dengan harapan mereka mampu melangkah lebih jauh.

“Kita tidak mahu mereka ini sekadar menjadi jaguh di kampung tetapi bersainglah ke peringkat lebih tinggi kerana kita yakin mereka mampu melakukannya,” katanya lagi.

SEREMBAN 14 Dis. - Sejajar dengan seruan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai graduan holistik dalam pasaran kerja, Kolej Universiti Nilai (Nilai UC) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan skim biasiswa baru kepada pelajar yang layak.

Menurut Pengurus Pembangunan Korporat Nilai UC, Mimi Azlina Naim, biasiswa itu memberi peluang lebih besar kepada pelajar yang aktif dengan aktiviti sukan dan kurikulum sekolah.

"Ini berbeza dengan skim biasiswa lain yang rata-rata menumpukan kepada kecemerlangan akademik semata-mata," katanya di sini semalam.

Katanya, selain itu, rakan industri Nilai UC turut memainkan peranan besar memandangkan mereka hanya mahukan kelompok graduan yang bukan sahaja bijak tetapi mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan boleh bekerja dalam satu pasukan.

"Sehubungan itu, biasiswa yang ditawarkan Nilai UC membuka peluang kepada kumpulan pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum," katanya.

Mimi Azlina berkata, skim Biasiswa Kurikulum Cemerlang Kolej Universiti Nilai yang ditawarkan membolehkan pelajar mempunyai rekod kokurikulum cemerlang termasuk pernah mewakili negeri, negara atau daerah, diberi pengecualian yuran pengajian dan penginapan sebanyak 100 peratus.

"Bagaimanapun, biasiswa ini tetap diteruskan dengan penawaran biasiswa kepada kelompok pelajar cemerlang akademik, iaitu kelayakan kepada pelajar yang mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau 3A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya.

Beliau berkata, biasiswa seterusnya dikenali sebagai Anugerah Kolej Universiti Nilai - Enrichment For Life yang memberi peluang kepada mana-mana pelajar yang memegang jawatan di kelab, persatuan atau badan beruniform.

"Mereka menikmati pengurangan yuran 30 peratus daripada jumlah yuran program Tahun Asas/Foundation atau 10 hingga 25 peratus pengurangan yuran bagi peringkat Ijazah.

"Kategori biasiswa keempat adalah biasiswa mengikut merit yang menawarkan anugerah sama kepada pelajar yang memperolehi 6A dalam SPM atau CGPA 3.0 (tiga subjek terbaik) peringkat STPM," katanya.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook